Jurutera syarikat aeroangkasa mati ditembak

BOGOTA, 4 DIS – Seorang jurutera yang berkhidmat dengan syarikat aeroangkasa dan pertahanan Perancis, Thales maut ditembak di Bogota, dan digambarkan sebagai sasaran untuk dibunuh, kata sumber rasmi semalam.

Menurut polis dan Thales, mangsa yang berusia 45 tahun ditembak lewat Isnin lalu di daerah Chapinero, ketika meninggalkan restoran bersama rakannya, seorang rakyat Perancis.

“Kami menolak kemungkinan ia adalah rompakan. Menurut bukti yang diperoleh, ia adalah satu kejadian terancang oleh pembunuh upahan,” kata pegawai polis bertugas, Mejar Robert Mendez kepada wartawan.

Kesan darah juga masih jelas kelihatan di asfalt di mana mangsa ditembak, semalam.

Pembunuhan berkenaan berlaku di sebatang jalan yang terletak berhampiran Kedutaan Perancis.

Menurut kedutaan itu, identiti mangsa tidak akan didedahkan dan beliau sedang melaksanakan satu tugasan untuk Thales di Bogota.

Bandar berkenaan ketika ini sedang menganjurkan pameran perdagangan pertahanan dan keselamatan.

Mendez berkata, mangsa pernah melawat Colombia pada 2017 dan tidak pernah mengalami sebarang masalah sepanjang tempoh itu.

Sumber polis memberitahu, mangsa dijadualkan pulang ke Perancis hari ini. – AFP

Orang awam melalui tapak di mana seorang jurutera yang bekerja untuk syarikat aeroangkasa dan pertahanan Perancis, Thales ditembak mati di Bogota pada 3 Disember 2019. – AFP