Thursday, September 29, 2022
31.9 C
Brunei

Juruterbang helikopter hilang, ditemukan mati

-

TAPAH, 12 SEPT – Juruterbang sebuah helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang semalam, ditemukan mati di lokasi kejadian, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Beliau berkata mayat juruterbang itu ditemukan di dalam kokpit helikopter tersebut oleh pasukan pencari dan penyelamat pagi tadi.

“Helikopter milik pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menemui lokasi nahas kira-kira 9:30 pagi di Hutan Simpan Chikus di sini. Lima minit kemudian, krew TUDM turun ke lokasi nahas dan menemui mangsa yang berada di dalam kokpit.

“Mayat kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 10:12 pagi dan seterusnya dibawa ke SMK Anderson menggunakan sebuah ambulans, sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat. Kecederaan dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Balai Polis Bidor, kira-kira 80 kilometer dari Ipoh hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati juruterbang tersebut dikenali sebagai Tsz Kin Richard Chan, 58 tahun merupakan warganegara Hong Kong dan keluarganya telah dimaklumkan oleh pihak syarikat.

Menurutnya, bangkai pesawat jenis Eurocopter milik sebuah syarikat swasta itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Semalam Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat itu terputus hubungan pada kira-kira pukul 12:16 tengah hari dengan lokasi terakhir dilaporkan adalah di sekitar kawasan hutan dekat Bidor.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini pada 12:37 tengah hari selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11:37 pagi.

Sementara itu Wee dalam hantaran terbaharu di Facebook memaklumkan, pihaknya masih menunggu laporan hospital untuk mengesahkan punca dan waktu kematian mangsa, selain telah mengarahkan CAAM untuk menyediakan laporan lengkap. – Bernama

Anggota Tentera Udara Malaysia mengusung mayat juruterbang sebuah helikopter yang terputus hubungan sebelum dilaporkan hilang di kawasan Bidor sejak petang Ahad, untuk dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Bainon (HRPB) bagi proses bedah siasat, kelmarin. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Penjawat awam dilarang luah pendapat di media sosial

COLOMBO, 28 SEPT – Sri Lanka hari ini mengarahkan penjawat awam untuk tidak meluahkan pendapat mereka di media sosial selepas beberapa orang pegawai mendakwa...
- Advertisment -