DUBAI, 21 NOV – Sebuah pesawat pejuang India terhempas semasa pertunjukan udara di Dubai Airshow hari ini, mengorbankan juruterbangnya, menurut kenyataan kerajaan.
Pesawat itu melakukan pusingan rendah sebelum jatuh terhempas dalam kebakaran kira-kira 1.6 kilometer dari tapak pertunjukan, beritahu seorang saksi kepada AFP.
“Pesawat pejuang Tejas dari India yang menyertai pertunjukan udara hari ini di Dubai Airshow telah terhempas, mengakibatkan kematian tragik juruterbang,” menurut kenyataan media kerajaan Dubai di X.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pesawat itu jatuh dengan laju dan meletup menjadi bola api ketika terhempas, sementara penonton menyaksikan dengan terkejut.
Asap tebal menjulang naik dari lokasi kemalangan ketika kenderaan kecemasan bergegas ke tempat kejadian.
Kejadian itu berlaku pada hari terakhir pameran udara terbesar di Timur Tengah, yang menampilkan pertunjukan udara setiap petang. – AFP


