Saturday, March 29, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juruterbang, kanak-kanak terselamat kejadian pesawat terhempas

    WASHINGTON, 26 MAC – Seorang juruterbang dan dua kanak-kanak diselamatkan dari sebuah pesawat kecil yang terjunam ke dalam tasik berais di Alaska selepas operasi pencarian semalaman, menurut pegawai. 

    Pesawat enjin kipas Piper PA-12 Super Cruiser itu dilaporkan hilang di kawasan Tasik Tustumena dan Pergunungan Kenai pada Ahad sekitar jam 10:30 malam selepas gagal pulang seperti yang dijadualkan. 

    Bagaimanapun, seorang juruterbang sukarelawan menemui pesawat itu di atas permukaan tasik yang beku, yang membawa kepada operasi menyelamat penumpang kira-kira 12 jam selepas pesawat itu diisytiharkan hilang. 

    “Pagi tadi, sebuah pesawat yang dikendalikan oleh seorang samaritan menemui bangkai pesawat berhampiran bahagian timur Tasik Tustumena,” kata Pasukan Peronda Negeri Alaska dalam satu kenyataan pada hari Isnin. 

    Foto pesawat yang sebahagiannya tenggelam, diterbitkan oleh media tempatan, menunjukkan tiga individu duduk di atas sayap pesawat. Pasukan penyelamat bergegas mencari mereka dalam suhu di bawah sifar sepanjang malam, menurut rekod cuaca tempatan. 

    Lelaki dan dua kanak-kanak itu dibawa ke hospital dengan kecederaan yang ‘tidak mengancam nyawa,’ tambah kenyataan itu. 

    Dale Eicher, salah seorang juruterbang tempatan yang menyertai operasi pencarian, berkata penumpang sangat bertuah kerana terselamat dalam kejadian itu. 

    “Saya tidak menyangka kami akan menemui mereka, apatah lagi menemui mereka dalam keadaan hidup,” katanya kepada stesen TV tempatan KTUU

    “Saya pernah terlibat dalam beberapa operasi mencari dan menyelamat sebelum ini, dan ia tidak selalunya berakhir dengan baik.”- AFP

    Gambar yang diterbitkan oleh Pasukan Keselamatan Kebangsaan Alaska menunjukkan sebuah pesawat yang tenggelam separuh di Tasik Tustumena pada 24 Mac.- AP

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda