Sunday, September 22, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juruterbang New Zealand dibebaskan

    TIMIKA, 22 SEPT – Juruterbang New Zealand, Phillip Mehrtens, telah dibebaskan daripada kurungan oleh pemberontak di wilayah Papua yang bergolak di Indonesia dan berada dalam keadaan sihat walaupun berdepan pengalaman pahit selama 19 bulan, kata pihak berkuasa Indonesia dan New Zealand, kelmarin.

    Mehrtens, 38, bekerja untuk syarikat penerbangan Indonesia Susi Air telah diculik oleh kumpulan pemberontak Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TPNPB) di lapangan terbang Nduga, Papua, pada 7 Februari tahun lalu.

    Pasukan petugas bersama pasukan polis dan tentera telah menjemput Mehrtens di sebuah kampung di daerah Nduga kelmarin, di mana sebelumnya dia telah mendapatkan pemeriksaan perubatan dan psikologi dan kemudiannya diterbangkan ke bandar Timika, Papua, kata ketua unit itu, Faizal Ramadhani.

    “Hari ini saya telah dibebaskan. Saya sangat gembira kerana tidak lama lagi saya akan dapat pulang ke rumah dan bertemu keluarga saya,” kata Mehrtens kepada pemberita sebelum ini di Timika, bercakap dalam bahasa Indonesia.

    “Terima kasih untuk semua yang membantu saya hari ini, jadi saya boleh keluar dengan selamat dalam keadaan sihat,” ujarnya lagi.

    Mehrtens tiba di ibu kota Jakarta dari Timika pada petang kelmarin di mana Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia, Hadi Tjahjanto, memberitahu pemberita Mehrtens telah diserahkan kepada duta New Zealand.

    Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, sebelum ini berkata Mehrtens bearada dalam keadaan selamat dan sihat serta telah berkomunikasi dengan keluarganya.

    “Berita ini pasti melegakan rakan dan orang tersayangnya,” tambah Peters. – AFP

    Reaksi Mehrtens (tengah) semasa berjalan bersama Duta New Zealand ke Indonesia Kevin Burnett (tengah, kanan) selepas tiba dari Papua Tengah dengan pesawat tentera udara di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta pada 21 September. – AFP

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda