BANGKOK, 20 APRIL – Kira-kira 2.4 juta orang di Thailand telah mendapatkan rawatan hospital untuk masalah perubatan yang dikaitkan dengan pencemaran udara sejak awal tahun, kata pegawai kesihatan, ketika asap toksik ‘mencekik’ sebahagian negara.
Bangkok dan bandar utara Chiang Mai adalah antara bandar paling tercemar di dunia pagi ini, menurut firma pemantauan kualiti udara IQAir.
Kualiti udara yang lemah telah menyaksikan 2.4 juta orang mendapatkan rawatan perubatan sejak awal tahun ini, dengan 184,465 kemasukan ke hospital minggu ini sahaja, kata setiausaha tetap Jabatan Kesihatan Awam, Dr Opas Karnkawinpong, kelmarin.
Opas berkata masalah pernafasan, dermatitis, keradangan mata dan sakit tekak adalah antara masalah kesihatan paling biasa.
Pegawai kesihatan menggesa orang ramai menggunakan topeng anti-pencemaran N95 berkualiti tinggi, menutup tingkap dan pintu, meminimumkan masa di luar dan bersenam di dalam rumah.
“Hari ini berasap sangat. Saya batuk teruk. Saya mengalami sakit tekak. Saya melakukan ujian untuk COVID tetapi bukan itu. Melihat kepada tahap pencemaran, boleh jadi itu,” kata seorang pengguna Facebook Thailand. – AFP


