LONDON, 25 JUN – Usaha vaksinasi global bagi melindungi kanak-kanak daripada penyakit berbahaya seperti tetanus, polio, batuk kokol dan tuberkulosis dilaporkan terhenti sejak tahun 2010, sekali gus mendedahkan jutaan kanak-kanak kepada risiko penyakit yang boleh dicegah itu.
Menurut analisis baharu mengenai trend vaksinasi global yang diterbitkan dalam jurnal Lancet, perlindungan terhadap campak menurun di 100 buah negara antara 2010 hingga 2019, termasuk di negara maju yang sebelum ini berjaya menghapuskan penyakit itu.
Profesor Kesihatan Kanak-kanak di University College London, Helen Bedford, yang tidak terlibat dalam kajian itu, menyatakan bahawa vaksinasi adalah intervensi kesihatan paling berkesan selepas bekalan air bersih.
Namun, kebelakangan ini terdapat peningkatan membimbangkan dalam jumlah ibu bapa yang enggan memberi vaksin kepada anak mereka, atas alasan termasuk maklumat salah.
Di Britain, keadaan itu menyaksikan peningkatan kes campak mencecah tahap tertinggi sejak tahun 1990an serta kematian puluhan anak damit akibat batuk kokol.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, kadar vaksinasi menurun manakala pengecualian vaksinasi kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah.
Sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan Program Imunisasi Rutin pada 1974, lebih empat bilion kanak-kanak telah diberi vaksin, sekali gus menyelamatkan 154 juta nyawa.
Liputan global bagi vaksin tiga dos difteria-tetanus-batuk kokol meningkat daripada 40 peratus kepada 81 peratus, manakala kadar vaksin campak meningkat daripada 37 peratus kepada 83 peratus.
Bagaimanapun, selepas pandemik COVID-19, kadar liputan vaksin menurun mendadak.
Dianggarkan 15.6 juta kanak-kanak tidak menerima vaksin batuk diphtheria-tetanus-whooping dan vaksin campak, manakala hampir 16 juta lagi tidak menerima vaksin polio dan sembilan juta terlepas vaksin tuberkulosis. Kawasan yang paling terkesan adalah sub-Sahara Afrika.
Analisis oleh Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME) Universiti Washington mendapati lebih separuh daripada 15.7 juta kanak-kanak yang tidak divaksin di dunia pada 2023 berasal dari lapan negara iaitu Nigeria, India, Congo, Etiopia, Somalia, Sudan, Indonesia dan Brazil.
Kajian itu dibiayai oleh Yayasan Bill & Melinda Gates dan Gavi, The Vaccine Alliance. – AP

