JOHANNESBURG, 8 OGOS – Berjuta-juta kotak limau menjadi busuk dalam kontena yang terkandas di pelabuhan Eropah ketika Afrika Selatan dan Kesatuan Eropah (EU) bertelagah mengenai peraturan import, kata pekebun buah sitrus itu.
Afrika Selatan, pengeksport kedua terbesar dunia buah sitrus selepas Sepanyol, memfailkan satu aduan dengan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pada bulan lalu selepas EU memperkenalkan tanaman baharu dan syarat-syarat keselamatan kesihatan yang dikatakan pekebun limau mengancam mata pencarian mereka.
Langkah itu berkuat kuasa pada Julai ketika kapal-kapal telah pun dalam perjalanan membawa ratusan kontena buah Afrika Selatan ke Eropah, menyebabkan mereka ditahan ketika tiba, kata Persatuan Pekebun Sitrus Afrika Selatan (CGA).
“Ia adalah bencana,” beritahu CEO CSA Justin Chadwick kepada AFP menerusi telefon.
“Makanan yang berkualiti dan selamat hanya tersadai di sana – dan ia berlaku pada masa apabila orang bimbang mengenai sekuriti makanan.”
Peraturan EU bertujuan mengatasi penularan sejenis serangga spesies kupu-kupu, perosak di kawasan Sahara Afrika yang memakan buah termasuk limau dan limau gedang.
Langkah baharu itu mewajibkan pekebun Afrika Selatan menggunakan rawatan amat sejuk untuk semua limau menuju Eropah dan mengekalkan buah tersebut pada suhu dua darjah Celsius atau lebih rendah selama 25 hari.
Namun CGA berkata langkah itu tidak perlu kerana negara telah pun mempunyai kaedahnya yang tersendiri untuk menghindarkan serangan tersebut. – AFP
