LONDON, 30 OKT – Jutaan lagi penduduk di utara England berdepan peraturan koronavirus lebih ketat pada minggu depan, kata kerajaan hari ini tatkala ia menghadapi respons setempat terhadap jumlah kes yang meningkat.
Mulai Isnin, hampir 2.4 juta penduduk di lima daerah West Yorkshire, termasuk bandar Leeds, akan dilarang daripada berinteraksi dengan keluarga lain dalam bangunan.
Pub dan bar yang tidak menyajikan ‘makanan penting’ mesti ditutup, selain kasino, kedai perjudian, pusat hiburan dan pusat permainan.
Orang awam juga diberitahu supaya mengelak perjalanan tidak penting.
Jabatan Kesihatan berkata langkah tersebut diperlukan kerana kadar jangkitan di West Yorkshire adalah ‘antara yang tertinggi di negara’ dan sedang meningkat dengan pesat.
Tindakan itu bermakna lebih 11 juta penduduk atau kira-kira satu perlima daripada penduduk England akan dikenakan sekatan paling ketat mulai minggu depan.
Kebanyakan kawasan dalam kategori sistem amaran COVID-19 tiga tingkat ‘amat tinggi’ terletak di utara dan tengah negara.
Nottingham menjadi bandar terbaharu yang memasuki tingkat tertinggi hari ini. – AFP
