Jutaan pelajar Itali kembali semula ke sekolah

ROM, 14 SEPT – Jutaan kanak-kanak Itali kembali ke bilik darjah hari ini apabila kebanyakan sekolah dibuka semula lebih enam bulan selepas ditutup untuk mengekang pandemik koronavirus.

Walaupun beberapa sekolah Itali dibuka pada awal bulan ini, kira-kira 5.6 juta pelajar daripada lapan juta kembali ke sekolah hari ini, berdepan realiti baharu memakai penutup mulut dan hidung, pemeriksaan suhu badan dan penjarakan sosial.

“Segala-galanya berjalan lancar. Kami bermula dengan satu majlis pada pagi ini untuk menandakan bermulanya satu permulaan untuk kami,” beritahu Diana Guerani, pengetua sekolah tinggi teknikal Luigi Einaudi Rom kepada AFP.

Kumpulan pelajar pertamanya tiba untuk kelas terhad yang berlangsung tiga jam sahaja pada hari ini dan beliau mengaku sekolah ‘amat bimbang’, meskipun memasang kamera pemeriksaan suhu dan menguatkuasakan pemakaian penutup mulut dan hidung.

“Hari pertama berjalan lancar. Namun adalah sukar untuk bercakap sementara memakai penutup mulut dan hidung,” kata Angelica Lisanti, 14 tahun.

“Selepas enam bulan tanpa sekolah, saya berasa gembira untuk berjumpa dengan kawan saya,” beritahu Michela Horan, 13, kepada AFP di luar sekolah berhampiran Basilica, Saint Peter.

“Seluruh situasi benar-benar menakutkan.”

Perdana Menteri Giuseppe Conte mengaku semalam bahawa sekolah Itali menghadapi situasi sukar, termasuk kekurangan guru, bangku satu tempat duduk dan penutup mulut dan hidung.

“Akan timbulnya kesukaran terutamanya pada permulaan,” tulis Conte di Facebook.

Menteri Pendidikan Itali Lucia Azzolina berkata lebih daripada 5,000 bilik darjah tambahan telah diwujudkan untuk memberikan pelajar lebih banyak ruang. – AFP

Guru-guru (kiri) menyambut pelajar dan ibu bapa ketika mereka tiba kelmarin untuk permulaan tahun persekolahan di sekolah tinggi teknikal Luigi Einaudi di Rom. – AFP