Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jutaan penduduk AS hadapi gelombang haba melampau

    NEW YORK, 24 JUN – Gelombang haba yang berpotensi mengancam nyawa melanda satu pertiga kawasan timur Amerika Syarikat (AS) kelmarin, menjejaskan hampir 160 juta orang, dengan suhu dijangka mencecah 39 darjah Celsius di kawasan metropolitan New York minggu ini.

    Gelombang haba pertama yang serius tahun ini mencetuskan amaran kesihatan sejak hujung minggu lalu. Suhu berbahaya dijangka berterusan sehingga Rabu di Washington, Baltimore, Philadelphia, New York City dan Boston.

    “Haba melampau ini bukan sekadar tidak selesa dan menyesakkan bagi penduduk New York,” kata Datuk Bandar Eric Adams sambil menambah bahawa setiap tahun, haba panas membunuh 500 orang di bandar berpopulasi lapan juta itu.

    “Ia akan menjadi sangat teruk dan berbahaya jika tidak ditangani dengan serius sebagaimana yang kami inginkan,” tambah beliau.

    Ketika suhu tinggi membahang bandar tersebut, pihak berkuasa menyeru warga emas, individu yang mempunyai masalah kesihatan serta mereka yang tiada pendingin hawa agar kekal terhidrat dan mendapatkan bantuan di pusat penyejukan yang disediakan seperti perpustakaan awam dan kemudahan rekreasi.

    Beberapa rekod suhu turut dipecahkan di bahagian timur laut AS. Di Central Park, yang digelar sebagai ‘paru-paru’ Manhattan, suhu 36°C kelmarin menyamai rekod tertinggi yang pernah dicatat sejak tahun 1888, menurut Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan (NWS).

    ‘Amaran Haba Melampau dan Nasihat Haba di sebahagian besar kawasan timur negara kini menjejaskan hampir 160 juta orang’ di sekurang-kurangnya 29 negeri, menurut laporan NWS. – AFP

    Seorang lelaki berjoging berhampiran National Mall di Washington, DC, pada 23 Jun ketika gelombang haba melampau melanda kawasan tersebut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda