JAKARTA, 2 JUN – Beberapa buah kota di seluruh negara yang memiliki penduduk Islam paling ramai di dunia kelihatan agak lengang tatkala berjuta-juta penduduk Indonesia sedang berduyun-duyun pulang ke kampung halaman masing-masing sebagai menandakan bulan Ramadan hampir ke penghujungnya.
Sekitar 15 juta penduduk dijangka akan meninggalkan Jakarta, kira-kira separuh daripada penduduk kota raya itu, dalam ‘penghijrahan’ tahunan yang dikenali sebagai ‘mudik’ telah menyebabkan jalan-jalan di ibu kota raya itu yang biasanya sesak menjadi lengang.
Para penduduk di negara itu pulang menggunakan kereta dan motosikal melalui beberapa jalan raya yang mengenakan tol sambil berhadapan dengan kesesakan yang mungkin akan berlarutan sehingga 24 jam.
Pada tahun-tahun lalu, beberapa kemalangan yang meragut nyawa telah dilaporkan semasa penduduk di negara itu berduyun-duyun untuk pulang ke kampung.
Lebuh raya di pulau Jawa, yang merupakan tempat tinggal lebih separuh daripada 260 juta penduduk Indonesia, penuh dengan penduduk yang pulang dan ingin meraikan akhir Ramadan dengan orang yang tersayang.
Lapangan terbang, stesen kereta api dan pelabuhan juga kelihatan agak sibuk tatkala orang ramai ingin pulang ke pangkuan keluarga ke lebih 17,000 kepulauan negara itu.
Ada juga yang pulang bercuti menggunakan ‘bajaj’, teksi tiga roda yang biasanya hanya terhad digunakan di jalan-jalan di kawasan bandar.
“Masa perjalanan adalah antara 14 hingga 20 jam jika trafik perjalanan dalam keadaan baik, tetapi jika keadaan sesak, ia akan mengambil masa lebih kurang 20 jam atau lebih,” kata pemandu bajaj yang berasal dari Jakarta, Sugeng Puji yang menuju ke Kebumen di Jawa Tengah.
“Tetapi tidak seperti tahun-tahun sebelumnya apabila orang ramai terjebak dalam kesesakan lalu lintas selama berjam-jam, kesesakan tahun ini dilihat sedikit berkurangan.” – AFP
