PUERTO AYORA, ECUADOR, 31 JULAI – Negara-negara di sepanjang lingkaran Pasifik menarik balik amaran tsunami kelmarin, membolehkan jutaan penduduk yang dipindahkan sementara kembali ke kediaman masing-masing.
Tindakan itu diambil selepas satu daripada gempa bumi terkuat pernah direkodkan menggegarkan kawasan timur jauh Rusia yang kurang berpenduduk, menyebabkan lebih belasan negara iaitu dari Jepun ke Amerika Syarikat (AS) hingga Ecuador mengeluarkan amaran kepada rakyat supaya menjauhi kawasan pesisir.
Gelombang ombak setinggi sehingga empat meter diramal berlaku di beberapa bahagian Pasifik, susulan gempa berukuran 8.8 magnitud yang berlaku di perairan Semenanjung Kamchatka, Rusia.
Amaran tsunami tersebut telah menyebabkan gangguan besar di pelbagai lokasi.
Peru menutup 65 daripada 121 pelabuhannya di pantai Pasifik, manakala pihak berkuasa di Maui membatalkan penerbangan ke dan dari pulau Hawaii itu.
Namun, kebimbangan terhdap bencana besar tidak menjadi kenyataan, apabila negara demi negara mula menarik balik atau menurunkan tahap amaran dan memaklumkan kepada penduduk pantai bahawa mereka boleh pulang. – AFP


