Friday, February 28, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jutaan rakyat Amerika terdedah kepada air minuman tercemar

    ISTANBUL, 27 FEB – Jutaan rakyat Amerika Syarikat (AS) minum air yang dicemari bahan kimia berbahaya, logam berat dan bahan radioaktif, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan yang diterbitkan semalam.

    Laporan Tap Water Database yang diterbitkan oleh Environmental Working Group (EWG), sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di Washington, DC, meneliti data kualiti air daripada hampir 50,000 sistem bekalan air di seluruh AS yang dikumpulkan antara 2021 dan 2023.

    Ia mengenal pasti 324 bahan cemar, dengan hampir semua sistem air komuniti mengandungi tahap bahan pencemar yang boleh dikesan.

    Walaupun tahap pencemaran kebiasaannya berada di bawah had undang-undang yang ditetapkan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), ia kerap melebihi piawaian berasaskan kesihatan EWG, menimbulkan kebimbangan mengenai kesan kesihatan jangka panjang.

    “Peraturan persekutuan yang lapuk terus menyebabkan jutaan orang terdedah kepada bahan berbahaya,” kata Tasha Stoiber, saintis kanan di EWG.

    Satu daripada kebimbangan utama ialah kehadiran bahan kimia kekal toksik bahan kimia yang mengambil masa yang sangat lama untuk terurai, ditemui dalam air minuman lebih daripada 143 juta orang. Bahan kimia itu dikaitkan dengan kanser, kerosakan sistem imun dan masalah perkembangan.

    Selain itu, air paip di seluruh AS mengandungi sebatian organik meruap, nitrat dan arsenik, yang semuanya dikaitkan dengan kanser serta risiko kesihatan yang serius. – Bernama

    Presiden Donald Trump memegang pos Truth Social mengenai air California di Pejabat Oval, Rumah Putih, Washington, pada 25 Februari 2025. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda