JAKARTA, 2 MEI – Polis Indonesia telah melumpuhkan satu sindiket perjudian dalam talian utama, dengan merampas 75 bilion rupiah (AS$4.8 juta) dan menahan empat suspek dalam satu operasi jenayah siber yang dijalankan selama beberapa bulan.
Kesemua suspek, termasuk seorang warganegara China yang dipercayai ketua sindiket, ditahan hasil siasatan oleh Unit Jenayah Siber Agensi Siasatan Jenayah (Bareskrim).
Pengarah unit itu, Brig Jen Himawan Bayu Aji berkata sebanyak 61 bilion rupiah dirampas daripada 164 akaun yang mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian dalam talian, manakala selebihnya masih dibekukan oleh Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK).

“Aset yang dirampas termasuk wang tunai berjumlah 14 bilion rupiah, telefon bimbit, kad ATM dan dokumen bank,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, seorang suspek ditahan di Bandung, Jawa Barat pada 13 Mac, manakala tiga lagi termasuk ketua sindiket ditahan pada 30 April. Kesemua mereka disyaki mengendalikan laman perjudian dalam talian menggunakan domain h55.hiwin.care.
Siasatan itu berpandukan maklumat perisikan daripada PPATK, yang mengenal pasti 5,885 akaun bank disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram, dengan jumlah transaksi mencecah 600 bilion rupiah (sekitar AS$36.2 juta).
“Kesemua suspek sedang disiasat mengikut Undang-Undang Transaksi Elektronik, Undang-Undang Antipengubahan Wang Haram dan Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun,” kata Himawan. – Bernama