Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jutaan warga China balik kampung

    BEIJING, 30 Jan – Menjelang cuti Tahun Baharu, jutaan warga China meninggalkan bandar-bandar besar untuk kembali ke kampung masing-masing bagi meraikan perayaan penting itu bersama ahli keluarga.

    Percutian paling penting dalam kalendar China itu memberi penekanan yang besar terhadap perjumpaan keluarga dan mereka harus pulang ke kampung halaman Isnin ini untuk menyambut Tahun Baharu pada hari berikutnya.

    Di Stesen Keretapi Beijing awal hari ini, beribu-ribu orang berbaju tebal dan berselimut sedang bersesak-sesak untuk menaiki kereta api bersama bagasi mereka.

    Gelombang manusia berkenaan termasuk sekumpulan kanak-kanak dengan beg berwarna terang dihiasi watak-watak kartun memberikan padanan yang menarik kepada pagi yang gelap pada musim sejuk.

    Para penumpang yang bersedia untuk perjalanan selama 32 jam dari Beijing ke Huaihua di wilayah Hunan, tengah China itu terus terhibur melayan telefon bimbit sambil menghirup teh dari botol.

    Ramai yang membeli tiket duduk di atas bagasi mereka di lorong-lorong atau di bangku kecil yang dijual di stesen kereta api Beijing. Ada juga yang melelapkan mata di kerusi yang sempit.

    Di kabin tidur terdengar bunyi desiran udara dengan beberapa keluarga berbual serta berkongsi makanan dengan anak-anak mereka bermain di sepanjang koridor.

    Pengendali kereta api mengharapkan kira-kira 413 juta perjalanan pada musim cuti tahun ini, meningkat 8.3 peratus berbanding tahun lalu, kata agensi berita rasmi Xinhua. – AFP

    Sebahagian daripada warga China yang menunggu kereta api untuk perjalanan balik kampung dari stesen kereta api di Beijing untuk cuti Tahun Baharu, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda