PRAGUE, 29 MAC – Jutawan Republik Czech, Petr Kellner terbunuh dalam nahas helikopter di Alaska, Amerika Syarikat pada Sabtu, lapor Sputnik, memetik syarikat pelaburannya PPF Group pada hari ini.
Media melaporkan lima maut dalam nahas udara berhampiran kawasan glasier di timur bandar Anchorage, manakala mangsa tunggal yang terselamat dibawa ke hospital. Selain Kellner, turut terkorban seorang lagi warga Czech, dua jurupandu dan juruterbang. Punca kejadian sedang disiasat.
“Kemalangan berlaku ketika helikopter itu dalam perjalanan untuk membawa penumpang melakukan aktiviti ski sebelum terhempas di puncak gunung. Pengebumian Kellner akan diadakan secara tertutup dan hanya dihadiri keluarga terdekat,” kata jurucakap PPF Itka Tkadletsova kepada wartawan. Menurut majalah Forbes, nilai bersih harta Kellner dianggarkan AS$17.5 bilion. Jutawan itu memperoleh kekayaan menerusi syarikat pelaburan miliknya, serta saham dalam syarikat telekomunikasi O2, PPF Bank dan pegangan hartanah komersial. – Bernama