Thursday, March 20, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jutawan Perancis disiasat terlibat kes rasuah pelabuhan Afrika

    PARIS, 19 MAC – Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari lima negara Afrika telah mengemukakan aduan terhadap jutawan Perancis, Vincent Bollore dan anak lelakinya atas dakwaan memperoleh serta meraih manfaat secara rasuah daripada konsesi pelabuhan di benua itu.

    Bollore Group, yang sebelum ini mengendalikan perniagaan logistik dan pelabuhan di Afrika, telah menjual operasi tersebut pada tahun 2022. Syarikat itu pernah menggaji lebih 20,000 pekerja di 20 negara Afrika, menguruskan 16 pelabuhan serta pelbagai pusat penyimpanan dan pengangkutan.

    Cyrille Bollore, anak bongsu jutawan berkenaan, mengambil alih kepimpinan Bollore Africa Logistics pada tahun 2019, menggantikan bapanya. Kolektif NGO yang dikenali sebagai ‘Restitution for Africa’, terdiri daripada organisasi di Togo, Guinea, Ghana, Ivory Coast dan Cameroon, mendakwa bahawa Bollore Group, Vincent Bollore dan anaknya telah memperoleh konsesi pelabuhan secara tidak sah dan ‘pencucian’ wang menerusi penjualan perniagaan logistik Afrika mereka.

    Sehingga kini, pihak Bollore belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan ulasan. Pihak berkuasa Perancis sebelum ini telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa Bollore Group, melalui cabang perundingannya, telah menyokong secara haram kempen pilihan raya Presiden Faure Gnassingbe di Togo dan Presiden Alpha Conde di Guinea pada tahun 2010 sebagai balasan untuk konsesi pelabuhan di Lome dan Conakry.

    Walaupun pasukan peguam syarikat berjaya mencapai penyelesaian, pendakwa kewangan Perancis pada tahun 2024 menggesa agar Vincent Bollore dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan rasuah serta bersubahat dalam pelanggaran amanah.

    Aduan yang dikemukakan hari ini mendakwa Bollore terlibat dalam rasuah, memperoleh manfaat daripada penyelewengan kuasa dan pengambilan kepentingan secara tidak sah oleh pegawai tempatan di Cameroon, Ghana dan Ivory Coast. – AFP

    Vivendi Vincent Bollore semasa menghadiri sesi pendengaran siasatan parlimen mengenai prosedur pemberian kebenaran perkhidmatan televisyen nasional di hadapan suruhanjaya Perhimpunan Kebangsaan di Paris, pada 13 Mac 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda