Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jutawan Vietnam terlepas daripada hukuman mati

    HANOI, 25 JUN – Seorang jutawan hartanah Vietnam yang dijatuhkan hukuman mati akibat melakukan penipuan bernilai AS$27 bilion kini tidak lagi berdepan dengan hukuman tersebut, kata peguamnya hari ini, susulan keputusan negara itu yang telah memansuhkan hukuman mati bagi lapan jenis jenayah termasuk penyelewengan harta.
     
    Peguam Truong My Lan, Giang Hong Thanh, memberitahu AFP , hukuman mati terhadap anak guamnya itu “akan ditukar kepada penjara seumur hidup dan saya telah memaklumkan hal tersebut kepada Lan pagi ini, dia sangat gembira mendengar khabar itu.”
     
    Menurut media rasmi, Vietnam hari ini telah memansuhkan hukuman mati bagi lapan kesalahan termasuk pengintipan, rasuah dan cubaan untuk menggulingkan kerajaan.
     
    Lan, 68, didapati bersalah tahun lalu kerana menipu wang daripada Saigon Commercial Bank (SCB) yang dikatakan berada di bawah kawalannya. 
     
    Dia telah dijatuhi hukuman mati selepas disabitkan kesalahan kerana menipu dan melibatkan kerugian sebanyak AS$27 bilion, iaitu bersamaan enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Vietnam.
     
    Truong My Lan (dua dari kiri), semasa menghadiri pembicaraan di mahkamah Ho Chi Minh pada 25 Mac. – AFP
    DIa merayu terhadap keputusan itu dalam perbicaraan selama sebulan, namun pada Disember lalu, namun mahkamah Ho Chi Minh telah memutuskan ‘tiada asas’ untuk mengurangkan hukuman.
     
    Namun hukumannya boleh dikurangkan kepada penjara seumur hidup sekiranya dia memulangkan tiga perempat daripada aset yang dicuri.
     
    Walaupun secara rasmi dia hanya memiliki lima peratus daripada saham SCB, tetapi mahkamah telah mendapati dia sebenarnya menguasai lebih daripada 90 peratus bank tersebut melalui ahli keluarga, rakan dan juga pekerja.
     
    Puluhan ribu pelabur yang menyimpan wang mereka di SCB mengalami kerugian, mencetuskan protes yang jarang berlaku di negara komunis itu.
     
    Dalam kes berasingan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah AS$17 bilion, hukuman penjara seumur hidup terhadap Lan telah dikurangkan kepada 30 tahun dalam rayuan pada April lalu.
     
    Di bawah undang-undang Vietnam, mereka yang telah dijatuhkan hukuman mati atas lapan kesalahan tersebut sebelum 1 Julai akan ditukar kepada penjara seumur hidup oleh Ketua Hakim Mahkamah Rakyat Tertinggi. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda