MILAN, 30 Sept – Mario Mandzukic menjaringkan gol pada setiap separuh masa ketika Juventus bangkit dari belakang untuk menewaskan Napoli, yang beraksi dengan 10 pemain, 3-1 dan melebarkan enam mata pendahuluan ke atas pasukan kendalian Carlo Ancelotti di tangga teratas Serie A.
Bintang Portugis, Cristiano Ronaldo memainkan peranan dalam ketiga–tiga gol ketika pasukan kendalian Massimiliano Allegri itu mencatatkan 21 mata maksimum selepas tujuh perlawanan. Napoli dengan 15 mata, selepas mengalami kekalahan kedua mereka musim ini.
“Ronaldo menikmati permainannya, berkembang dengan baik,” kata Allgeri.
“Dia seorang pemain yang luar biasa, hantarannya adalah luar biasa dan malam ini adalah yang terbaik Ronaldo musim ini, di samping permainan peringkat tinggi setengah jam di Valencia.”
Di Turin, kunjungan pertama Ancelotti ke bekas kelabnya bermula dengan menarik apabila Jose Callejon membuat hantaran voli bagi Dries Mertens membuka jaringan selepas 10 minit perlawanan.

Tetapi Ronaldo memberikan umpanan kepada Mandzukic untuk menanduk jaringan penyamaan selepas minit ke-26.
Momentum kemudian berpihak kepada Juventus dengan sepakan Ronaldo mengenai tiang gol dan melantun dalam laluan pemain Croatia itu, yang meluru menyudahkan jaringan empat minit selepas rehat.
Napoli bergelut selepas pemain pertahanan Portugis, Mario Rui diarah meninggalkan padang pada minit ke-58 kerana dilayangkan kad kuning kedua.
Ronaldo membuat tandukan ke gawang hasil sepakan sudut dengan Leonardo Bonucci menyudahkan gol ketiga minit ke-76.
“Saya rasa pengadil melakukan keputusan yang bagus. Mario Rui dilayangkan kad ku-ning kedua selepas penantian yang lama untuk mempertimbangkannya,” kata Ancelotti.
“Saya berang terhadap pasukan saya kerana kami bermula dengan kuat dan mendahului, tetapi kemudian beraksi hambar dan membolehkan Juventus untuk mengembalikan keyakinan mereka.” – AFP