MILAN, 29 April – Juventus dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Inter Milan, yang beraksi dengan 10 pemain, meledakkan dua gol lewat bagi memberikan kemenangan 3-2 di San Siro awal pagi tadi, sekali gus kembali membuka jurang empat mata di puncak Serie A.
Inter hampir pasti melakarkan kemenangan ketika tuan rumah mendahului sehingga tiga minit terakhir sebelum wisel penamat, meskipun beraksi lebih daripada 70 minit dengan kurang seorang pemain selepas Matias Vecino dibuang padang.
Namun Milan Skriniar tertolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-87 disusuli tandukan kemenangan Gonzalo Higuain dua minit kemudian.
“Saya perlu mengucapkan tahniah kepada para pemain, ia adalah langkah penting ke arah Scudetto,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.
“Ia adalah malam bola sepak yang hebat antara kedua-dua buah pasukan yang mesti menang.

“Menang di San Siro adalah sangat sukar, mereka melakukan tugas yang baik dengan bermain 10 orang. Kami sedar bahawa untuk memenangi liga, kami perlu memenangi semua baki perlawanan kami.”
Jurang mata Juventus dirapatkan kepada hanya satu mata selepas tewas kepada Napoli di Turin minggu lalu.
Skuad Napoli kendalian Maurizio Sarri berkunjung ke Fiorentina tengah malam ini untuk cuba mencabar kejuaraan bagi gelaran ketiga selepas 1987 dan 1990.
Kekalahan ini menjejaskan peluang Inter ke saingan Liga Juara-Juara musim depan apabila mereka kekal di tangga kelima di belakang Roma dan Lazio dengan baki tiga perlawanan.
“Ia pastinya sukar untuk melupakan kekalahan ini,” kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti.
“Perlawanan ini sangat bermakna buat kami dan pasukan layak untuk memperoleh sesuatu daripada perlawanan ini. Kami telah menggunakan banyak tenaga kerana kekurangan seorang pemain dan detik akhir itu telah menyakitkan kami.” – AFP