Juve pertaruh keupayaan Sarri

MILAN, 20 OGOS – Juventus akan memulakan kempen Serie A mereka hujung minggu ini di bawah jurulatih baharu, Maurizio Sarri ketika juara Itali itu mempertaruhkan veteran itu untuk memberikan mereka gelaran Serie A dengan gaya baharu.

Gergasi Turin itu memulakan buruan gelaran kesembilan berturut-turut di Parma hujung minggu ini tetapi ia mungkin tanpa Sarri di petak teknikal selepas dia didiagnosis dengan pneumonia kelmarin.

Sarri kembali ke Itali selepas satu musim tidak menentu di Liga Perdana bersama Chelsea, yang mana dia sebelum itu mengendalikan Napoli selama tiga musim.

Pelantikan Sarri, menggantikan Massimiliano Allegri yang menerajui Juve bagi lima gelaran Serie A, adalah pemecah tradisi bagi Juventus.

Tetapi selepas tidak lagi menggunakan jersi ikonik jalur hitam dan putih mereka musim lepas, kelab itu kini mencari arah lain.

Meskipun dengan kejayaannya, Juve kerap dikritik kerana gaya permainan bertahan mereka yang membosankan.

Bos-bos kelab itu mahu gaya permainan bola sepak yang menarik dalam usaha mereka meningkatkan pangkalan peminat di luar Itali.

Sementara satu-satunya gelaran utama Sarri adalah Liga Europa bersama Chelsea musim lepas, dia berjanji untuk memberikan Juventus gaya permainan bola sepak yang lebih dinamik. – AFP

Maurizio Sarri tiba bagi perlawanan persahabatan antara Juve A dan Juve B di Villar Perosa. – AFP