TURIN, 1 Mac – Dua jaringan penalti Paulo Dybala di separuh masa kedua telah menempatkan juara bertahan itu satu langkah ke perlawanan akhir Piala Itali selepas menang 3-1 ke atas Napoli dalam separuh akhir pertama.
Pemain Sepanyol, Jose Callejon telah memberikan pasukan pelawat pendahuluan di minit ke-36 ketika pasukan tuan rumah kelihatan tidak teratur di laman sendiri. Tetapi penalti berganda Dybala di minit ke-47 dan 69, dan satu jaringan pemain Argentina, Gonzalo Higuain di minit ke-64 telah memberikan Juventus 10 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan.
Juventus akan berkunjung ke Stadio San Paolo di Naples pada 5 April depan bagi perlawanan separuh akhir kedua.
Pesaing bandar, Lazio dan AS Roma akan bermain perlawanan separuh akhir pertama mereka awal pagi esok.

Napoli menguasai sebahagian besar separuh masa pertama dengan Callejon menemui sasaran selepas gerakan baik yang dilakukan oleh Lorenzo Insigne dan Arkadius Milik dalam memecahkan benteng pertahanan Juventus.
Tetapi juara bertahan Piala Itali itu menyamakan kedudukan dua minit selepas rehat menerusi sepakan penalti apabila Dybala dikasari oleh Kalidou Koulibaly di dalam petak. Higuain memberikan pendahuluan kepada Juventus dengan menjaringkan gol dari sudut sukar, dan Dybala sekali lagi mengambil peranan untuk melakukan sepakan penalti selepas penjaga gol Napoli, Pepe Reina menjatuhkan Juan Cuadrado. – AFP