ROM, 14 Ogos – Lazio telah menewaskan Juventus buat pertama kali dalam tempoh empat tahun dengan kemenangan 3-2 aksi Piala Super Itali awal pagi tadi, dengan jaringan kemenangan diraih dalam masa kecederaan oleh pemain gantian Alessandri Murgia.
Ciro Immobile telah memberikan Lazio pendahuluan 2-0 dengan penalti minit ke-31 dan tandukan pada minit ke-52 sebelum penyerang Juve, Paulo Dybala menghidupkan semula Juve menerusi sepakan percuma dan penalti di saat-saat akhir.
Tetapi Lazio muncul pemenang apabila Murgia menyudahkan hantaran lintang Jordan Lukaku, ketika perlawanan memasuki 3 minit masa kecederaan.
“Pasukan saya layak penghormatan ini, mereka mempersembahkan perlawanan menarik dan selayaknya menjulang trofi di depan penyokong kami,” kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi.
Jurulatih Juve, Massimiliano Allegri, mengakui pasukannya gagal menunjukkan standard biasa mereka ketika Lazio mencatatkan kemenangan pertama ke atas gergasi Turin itu sejak Januari 2013.
“Lazio selayaknya menang. Kami hanya mendapat rentak di setengah jam terakhir, di separuh masa pertama kami tidak beraksi dengan baik,” katanya.
“Kemudian kami mula membuka permainan kami, tetapi kami seharusnya melakukannya dari awal.”
Juventus, pemenang kedua Liga Juara-Juara, bermula dengan baik dan mungkin berada di depan dalam lima minit pertama. – AFP