Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juventus bangkit jinakkan Leipzig

    LEIPZIG, 3 OKT – Juventus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua kejohanan selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas RB Leipzig dalam perlawanan Liga Juara-Juara yang penuh mendebarkan, awal pagi tadi, walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.

    Francisco Conceicao menjadi wira Juventus apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi aksi solo yang cemerlang pada minit ke-82, memastikan Juventus membawa pulang tiga mata berharga.

    Pada perlawanan tersebut, Juventus menghadapi cabaran besar apabila kehilangan dua pemain utama, termasuk kapten pasukan, Gleison Bremer, akibat kecederaan hanya selepas 12 minit beraksi. RB Leipzig membuka jaringan melalui Benjamin Sesko, sebelum Dusan Vlahovic menyamakan kedudukan dua kali untuk Juventus, dengan golnya yang kedua dari luar kotak penalti mendapat pujian ramai.

    Bagaimanapun, situasi Juventus menjadi lebih sukar apabila penjaga gol, Michele Di Gregorio, dilayangkan kad merah pada minit ke-59 kerana menyentuh bola di luar kawasan penalti. Namun, pasukan bimbingan Thiago Motta itu terus memberi tekanan kepada RB Leipzig, yang akhirnya dihukum oleh jaringan Conceicao.

    Kemenangan itu memastikan Juventus kekal di landasan cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan.

    Pemain tengah Juventus, Nicolo Fagioli, memuji semangat pasukannya dalam separuh masa kedua, “Kami cepat menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua dan bermain dengan penuh semangat. Ini adalah kemenangan yang sangat bermakna.”

    Leipzig, yang juga mengharungi perlawanan sengit, gagal memanfaatkan peluang mereka.

    “Kami berhadapan dengan sebuah pasukan yang hebat. Jika kami lebih klinikal dengan peluang kami, keputusan mungkin berbeza,” kata pemain tengah Leipzig, Nicolas Siewald. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda