TURIN, 1 April – Leonardo Bonucci meledak gol ketika kepulangan semulanya ke Juventus tetapi gagal menghalang juara Itali itu mendekati gelaran Serie A ketujuh berturut-turut susulan kemenangan 3-1 ke atas AC Milan, awal pagi tadi.
Paulo Dybala membuka tirai jaringan seawal minit kelapan perlawanan sebelum Juan Cuadrado yang baru pulih sepenuhnya daripada kecederaan meledak gol kedua.
Sami Khedira menjaringkan gol ketiga Juventus pada lewat permainan untuk memberikan tuan rumah kelebihan empat mata di depan Napoli yang sebelum itu dipalit keputusan seri selepas diikat 1-1 oleh kelab bergelut, Sassuolo.
Pemain pertahanan Itali, Bonucci, 30, meninggalkan Turin pada musim panas lalu untuk menyertai Milan selepas tidak berselisih faham dengan jurulatih Massimiliano Allegri dan kepulangan semula di Stadium Allianz disambut dengan ejekan penyokong tuan rumah.
“Saya gembira kerana Bonucci memperoleh gol, tetapi saya lebih gembira yang Juventus menang,” kata Allegri.
“Penting untuk kembali ke landasan kemenangan dengan cara seperti ini menentang Milan, mereka berada dalam keadaan yang cukup baik. Kemenangan seperti itu seperti menghantar isyarat.”
Jaringan pembukaan Dybala gagal dihalang Gianluigi Donnarumma sekali pun penjaga gol muda Itali itu menafikan percubaan Gonzalo Higuain sebelum itu. – AFP