Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juventus catat rekod baharu

    MILAN, 30 Dis – Cristiano Ronaldo meledak dua gol ketika Juventus menutup tirai 2018 dengan kemenangan 2-1 ke atas Sampdoria untuk mencipta rekod baharu bagi kutipan mata dalam Serie A sebelum rehat musim sejuk, semalam.

    Penyerang Napoli, Arkadiusz Milik turut menyumbat dua gol dalam kemenangan 3-2 di laman sendiri menentang Bologna sekali gus terus memberi tekanan terhadap juara bertahan itu.

    Juventus yang diterajui Ronaldo mencatat rekod jumlah mata sebelum rehat musim sejuk selama tiga minggu dengan 53 mata daripada 19 perlawanan.

    Napoli tercicir sembilan mata di belakang di tangga kedua dengan Inter Milan lima mata lagi di tangga ketiga, beberapa hari selepas pertembungan mereka di San Siro dibayangi kematian seorang penyokong manakala pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly menjadi sasaran ejekan perkauman.

    Koulibaly digantung bagi aksi semalam namun penyokong memberikannya sokongan di San Paolo dengan memakai topeng muka pemain pertahanan itu dan memegang kain rentang tertera, ‘Kami adalah Koulibaly.’

    Ronaldo bersama rakan sepasukan meraikan kemenangan pada akhir perlawanan selepas menewaskan Sampdoria di Turin. – AFP

    Dries Mertens memastikan kemenangan dua minit sebelum tamat selepas Bologna bangkit menyamakan kedudukan dua kali bagi menjejaskan kelebihan jaringan Milik pada minit ke-15 dan 51.

    “Amat penting menamatkan tahun ini dengan bergaya dan ia tidak mudah,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri selepas perlawanan yang mana video bantuan pengadil (VAR) memainkan peranan.

    Dua penalti diputuskan oleh VAR dengan Sampdoria turut dinafikan gol penyamaan lewat perlawanan.

    Ronaldo melepaskan sepakan lencong bagi meledak gol pembukaan selepas hanya dua minit di Turin, dan menggandakan jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-65 untuk melonjak sebagai pendahulu penjaring terbanyak Serie A dengan 14 gol.

    Fabio Quagliarella menyamakan kedudukan buat kelab dari Genoa itu menerusi penalti pada minit ke-33, sebelum gol penyamaan lewat Riccardo Saponara tidak dikira kerana ofsaid.

    Jurulatih Sampdoria, Marco Giampaolo, yang menegaskan penalti Ronaldo sebagai ‘satu hadiah’ menambah, “gol Saponara tidak sepatutnya dibatalkan.”

    “Bagi saya, secara moralnya, perlawanan ini berakhir dengan keputusan 2-2.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda