MILAN, 6 Nov – Juventus mengurangkan jurang dengan pendahulu Serie A dengan kemenangan 2-1 ke atas pasukan tercorot, Benevento, sementara Napoli diikat seri oleh Chievo dan Inter Milan juga seri 1-1 menentang Torino.
Gol pembukaan separuh masa pertama Amato Ciciretti buat Benevento mengejutkan Juventus sebelum Gonzalo Higuain dan Juan Cuadrado menjaringkan gol selepas rehat bagi memastikan tiga mata bagi juara enam kali itu.
Napoli seri 0-0 di Verona dan kini 32 mata dari 12 perlawanan, satu mata di depan Juventus yang berada di depan Inter, tempat ketiga.
Meskipun dengan persembahan bersemangat mereka, pendatang baru Benevento, kini sudah tewas 12 perlawanan pertama mereka dalam kempen ini.
“Ia kelihatannya satu perlawanan yang disumpah, kerana bola sukar menembusi gawang, tetapi kami perlu tenang, fokus dan tidak tergesa-gesa,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P21-A_071117.jpg)
Benevento kelihatannya berazam merempuh keraian ulang tahun ke-120 Juve apabila Ciciretti meledakkan gol menerusi sepakan percuma yang menyaksikan Wojciech Szczesny tidak mampu berbuat apa-apa, buat pertama kali musim ini sebuah pasukan telah membuka jaringan lebih awal ke atas juara itu.
Higuain menyamakan kedudukan pada minit ke-57 apabila dia menyudahkan hantaran Blaise Matuidi dengan satu voli ke sudut atas, dan Cuadrado melengkapkan memastikan kemenangan dengan satu tadukan pada minit ke-66.
Napoli, selepas tewas 4-2 kepada Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini, tercicir dua mata apabila mereka bergelut dengan ketiadaan Pepe Reina, Faouzi Ghoulam dan Arkadiusz Milik yang cedera.
“Kami baru sahaja selepas beberapa perlawanan sukar dan kekurangan ketajaman,” kata jurulatih Maurizio Sarri mengenai keputusan seri kedua pasukannya dalam kempen ini selepas seri 0-0 dengan Inter.
“Kami mencipta banyak peluang, tetapi beberapa pemain kurang ketajaman dan tidak mempunyai kepintaran untuk menyudahkannya. Chievo melakukan apa yang perlu mereka lakukan.”
Sementara itu, Inter kekal mendahului pasukan tangga keempat Lazio, selepas kelab ibu negara itu mendapati perlawanan mereka menentang Udinese ditunda kerana hujan lebat.
Sementara itu, Roma kekal di tangga kelima dengan kelebihan satu perlawanan selepas menang 4-2 ke atas Fiorentina di Tuscany, dengan Gerson menjaringkan dua gol di separuh masa pertama.
Dalam perlawanan awal, Inter bangkit selepas Iago Falque meletakkan Torino di depan pada minit ke-59, dengan Eder keluar dari bangku simpanan bagi menyelamatkan satu mata ketika perlawanan berbaki 11 minit.
Tetapi pasukan tuan rumah terlepas peluang keemasan untuk meraih kemenangan di San Siro, yang sepatutnya meletakkan mereka berkongsi mata di puncak apabila percubaan lewat Matias Vecino menggegarkan palang.
Sementara itu AC Milan menewaskan Sassuolo 2-0 menerusi gol-gol Alessio Romagnoli pada minit ke-40 dan Suso berjaya mengurangkan tekanan ke atas jurulatih Vincenzo Montell pada minit ke-67. – AFP