Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juventus ikat Dortmund

    TURIN, ITALI, 17 SEPT – Juventus melakukan kebangkitan luar biasa kelmarin apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol pada masa kecederaan untuk mengikat Borussia Dortmund 4-4 pada aksi Liga Juara-Juara yang penuh mendebarkan.

    Lloyd Kelly menjadi penyelamat Juve pada detik akhir perlawanan dengan menanduk masuk hantaran silang tepat Dusan Vlahovic, sekali gus mencetuskan suasana riuh di Turin.

    Walaupun Kelly muncul wira, pemain gantian Vlahovic sebenarnya kunci kebangkitan apabila penyerang Serbia itu sekali lagi menempelak pengkritiknya dengan dua gol termasuk jaringan pada minit ke-94 yang menghidupkan semula peluang Juve.

    Ia merupakan kali ketiga musim ini Vlahovic, yang sebelum ini hampir meninggalkan kelab pada musim panas, bertindak cemerlang dari bangku simpanan, menjadikan jumlah golnya kini empat dalam semua pertandingan.

    “Ia bukan masa yang mudah untuk saya, terlalu banyak perkara ditulis yang 99 peratus daripadanya langsung tidak benar dan ia memang memberi kesan kepada saya,” kata Vlahovic kepada Sky.

    Lloyd Kelly meraikan kejayaan menjaringkan gol keempat pasukannya semasa perlawanan pusingan pertama Juventus dan Dortmund di stadium Allianz di Turin, utara Itali kelmarin. – AFP

    “Tetapi saya jadikan ia sebagai kekuatan. Setiap hari adalah peluang untuk buktikan sesuatu, untuk tunjukkan rasa lapar. Itulah diri saya, saya tidak pernah betul-betul puas.”

    Pasukan kendalian Igor Tudor kelihatan tertekan apabila Ramy Bensebaini menyempurnakan penalti pada minit ke-86 untuk meletakkan Dortmund di depan 4-2.

    Namun sama seperti hujung minggu lalu, ketika Juve menjaringkan gol lewat untuk menewaskan Inter Milan, kali ini Kelly pula tampil menyelamatkan mereka dengan keputusan seri yang tidak dijangka.

    “Kalau kami terus bolos gol seperti malam ini, kami tidak akan ke mana-mana,” kata Tudor.

    “Selepas beberapa hari yang penuh tekanan ini, saya rasa saya perlukan sedikit rehat.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda