MILAN, 25 OGOS – Kapten Juventus Giorgio Chiellini menjaringkan gol pertama Serie A musim ini awal pagi tadi ketika juara bertahan itu memulakan usaha mencari gelaran buat kali kesembilan berturut-turut dengan kemenangan 1-0 di Parma.
Ketika pasukan itu bergelut tanpa jurulatih Maurizio Sarri, yang tidak berada bersama kerana sedang menjalani pemulihan akibat radang paru-paru, naib juara Serie A, Napoli menang 4-3 di Fiorentina.
Kapten Lorenzo Insigne menjaringkan dua gol buat Napoli termasuk jaringan kemenangan pada minit ke-67 selain membantu jaringan Dries Mertens dan Jose Callejon buat pasukan dari selatan itu.
Di Parma, jaringan Chiellini memberikan perbezaan dalam saingan itu apabila mengambil sepakan Alex Sandro yang membias sebelum meledak dari jarak dekat pada minit ke-21 di Emilia Romagna.
“Dia (Sarri) boleh berbangga kerana pasukan menunjukkan bahawa kami bersatu dan boleh berlatih dengan dedikasi. Kami akan meningkat, tetapi paling penting ialah meningkat dengan kemenangan,” kata Chiellini, 35, selepas menjaringkan gol ke-27 sepanjang 14 tahun karier di Juventus.
Ketibaan Sarri dilabelkan sebagai permulaan baharu buat Juventus dengan gaya permainan yang menarik.
Bagaimanapun rupa baharu gergasi dari Turin itu seakan sama dengan skuad kendalian Massimiliano Allegri musim lalu.
Selain pemain Argentina, Gonzalo Higuain yang kembali dari pinjaman dari Chelsea, pilihan di depan bersama Cristiano Ronaldo ialah Paulo Dybala, pasukan yang sama seperti musim lalu. – AFP
