TURIN, 4 Jan – Douglas Costa dan Mario Mandzukic meledak gol ketika juara bertahan, Juventus mara ke separuh akhir Piala Itali awal pagi tadi hasil kemenangan 2-0 ke atas Torino.
Pemain Brazil, Costa membuka jaringan pada minit ke-15 di Stadium Allianz manakala bintang Croatia, Mandzukic menambah gol kedua biarpun mencetuskan kontroversi pada minit ke-69, untuk pertemuan berikutnya menentang Atalanta yang menyingkirkan pendahulu Serie A Napoli 2-1 semalam untuk aksi empat pasukan terakhir.
Lazio, finalis tahun lalu akan bertemu AC Milan dalam satu lagi aksi separuh akhir yang akan diadakan pada 31 Januari dan 29 Februari.
Pasukan yang menang akan menempah kelayakan automatik ke peringkat kumpulan Liga Europa.
“Kami mara ke separuh akhir buat kali keempat berturut-turut dan pemain menghadapi perlawanan dengan pendekatan terbaik,” kata jurulatih Massimiliano Allegri.
Torino menuntut sepakan percuma berikutan kekasaran Sami Khedira ke atas Afriyie Acquah hingga membolehkan Mandzukic menjaringkan gol yang disahkan selepas merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR).
“Saya tidak melihat insiden itu dan tidak akan mengulasnya. Saya tidak pernah mengulas mengenai VAR. Saya akan katakan kami patut menjaringkan sekurang-kurangnya beberapa gol lagi.”
Allegri berkata, juara bertahan tiga kali itu tidak akan memandang remeh pertemuan menentang Atalanta yang hanya menjuarai Piala Itali pada 1963.
“Atalanta berhak menewaskan Napoli untuk mara ke separuh akhir dan bukan mudah menentang mereka tetapi kami akan pastikan kami sudah bersedia,” kata jurulatih Juventus itu. – AFP