Saturday, July 27, 2024
32.3 C
Brunei

    -

    Juventus menang menerusi penalti

    LOS ANGELES, 28 JULAI – Juventus menewaskan AC Milan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah perlawanan persahabatan pramusim mereka di Carson, California berakhir seri 2-2 semalam.

    Kedua pasukan utama Serie A itu menampilkan aksi menarik selama satu jam di Dignity Health Sports Park, stadium kelab Major League Soccer (MLS), Los Angeles Galaxy, sebelum pertukaran pemain beramai-ramai daripada kedua-dua pasukan menyaksikan perlawanan itu bertukar menjadi hambar.

    Pertahanan Jerman, Malick Thiaw, menanduk masuk untuk meletakkan Milan di depan pada minit ke-23, melonjak tinggi dalam kotal penalti untuk menyudahkan sepakan percuma Theo Hernandez.

    Juve menyamakan kedudukan 10 minit kemudian apabila Danilo meledak masuk susulan keadaan kelam-kabut di depan pintu gol lawan.

    Milan kembali mendahului pada minit ke-39 apabila Thiaw menanduk sepakan sudut Christian Pulisic ke arah Olivier Giroud dan penyerang veteran Perancis itu menyempurnakannya dengan satu sepakan voli menakjubkan.

    Juventus bangkit semula dengan tendangan percuma Federico Chiesa ke dalam kotak penalti yang dirembat oleh Daniele Rugani dan sedikit mengenai Giroud sebelum masuk ke gawang.

    Kedua-dua pasukan kemudian melakukan pertukaran pemain, memasukkan pemain ganti dan pemain muda sekali gus menyaksikan saingan sengit permainan berkurangan.

    Perlawanan itu, sebagai sebahagian daripada ‘Jelajah Juara Bola Sepak’, diputuskan melalui sepakan penalti dan penjaga gol pelapis Juventus, Carlo Pinsoglio, berjaya menyelamatkan tiga penalti untuk memastikan kemenangan pasukan bimbingan Massimiliano Allegri itu. – AFP

    Pasukan Juventus bergambar ramai sebelum perlawanan bermula di Dignity Health Sports Park, di Carson, California pada 27 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...