Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Juventus pecat Motta

    MILAN, 24 MAC – Thiago Motta dipecat sebagai jurulatih Juventus kelmarin setelah mengendalikan pasukan itu kurang dari satu musim dengan bekas pemain Juventus, Igor Tudor menggantikannya, kata kelab gergasi Itali itu.

    “Juventus FC mengumumkan Thiago Motta telah dilepaskan daripada tugasnya sebagai jurulatih pasukan utama lelaki,” kata satu kenyataan oleh Juventus.

    “Kelab ini ingin mengucapkan terima kasih kepada Thiago Motta dan semua kakitangannya atas profesionalisme mereka dan kerja yang telah dilakukan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan penuh semangat dan dedikasi.

    “Juventus juga mengumumkan pasukan itu kini akan dipimpin oleh Igor Tudor, yang akan mengendalikan sesi latihan pertamanya hari ini, 24 Mac,” tambahnya.

    Keputusan untuk menyingkirkan Motta adalah susulan kekalahan 4-0 kepada Atalanta – kekalahan paling teruk mereka di tempat sendiri sejak 1967 – dan kekalahan 3-0 di Fiorentina dalam dua perlawanan terakhir pasukan itu, menjadikan Juve menduduki tangga kelima dalam liga utama Itali.

    Susulan keputusan itu, pengarah kelab menggunakan rehat tugasan antarabangsa untuk mengadakan perbincangan dengan Motta, yang membawa mereka kepada keputusan bahawa dia tidak lagi sesuai untuk memegang jawatan itu.

    Selepas memimpin Bologna ke Liga Juara-juara musim lalu, Motta, 42, tiba dengan sambutan gemilang di Turin pada Julai tahun lalu. Tetapi tempoh tersebut tidak bertahan lama. – AFP

    Gambar fail bertarikh 7 Februari 2025 menunjukkan Motta semasa perlawanan bola sepak Serie A Itali di Stadium Giuseppe Sinigaglia di Como. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda