MADRID, 29 Mei – Meskipun bagi seorang lelaki dan sebuah kelab yang sudah tidak asing dengan kegemilangan Piala Eropah, Zinedine Zidane dan Real Madrid berada diambang sejarah hujung minggu ini dalam final Liga Juara-Juara menentang Juventus di Cardiff.
Sejak Piala Eropah dijenamakan semula dan dibesarkan menjadi Liga Juara-Juara pada tahun 1992, tidak ada pasukan yang mampu mempertahankan kejuaraan trofi itu.
Namun, dalam hanya 18 bulan memasuki peranan pengurusan pertamanya, Zidane kini satu perlawanan untuk menjadi jurulatih ke-20 yang memenangi kejohanan itu dua kali.
Bahkan, kejayaan ke-12 mahkota Eropah bagi Madrid akan memastikan status mereka sebagai raja Eropah dengan tiga Liga Juara-Juara dalam tempoh empat tahun.
“Saya adalah seorang jurulatih, yang bermakna saya melakukan tugas dengan betul, tetapi semua orang dalam skuad ini melakukan tugas yang luar biasa,” kata Zidane selepas Real menyingkirkan Atletico Madrid dalam separuh akhir.


Dia menjadi terkenal apabila menjaringkan antara gol terbaik dalam final Liga Juara-Juara untuk memenangi perlawanan ke atas Bayer Leverkusen ketika dia masih bermain pada tahun 2002 dan menjadi sebahagian daripada kakitangan kejurulatih Carlo Ancelotti yang mengakhiri penantian selama 12 tahun bagi Piala Eropah ke-10 Madrid pada tahun 2014.
Zidane kemudian menyertai Ancelotti sebagai salah seorang daripada tujuh lelaki yang memenangi kejohanan itu sebagai pemain dan jurulatih apabila Real menewaskan pesaing bandar, Atletico menerusi penentuan sepakan penalti tahun lepas.
Namun kali ini perjalanan ke final bola sepak Eropah itu memperlihatkan prestasi luar biasa dalam musim penuh Zidane mengendalikan kelab itu.
Sementara Madrid melalui laluan dan undian mudah musim lepas, skuad Zidane kali ini telah mengatasi serangan Napoli, kehebatan Bayern Munich dan kepantasan Atletico Madrid untuk menempah tempat di Cardiff.
Bahkan mereka telah melakukan segala-galanya dengan menamatkan penguasaan domestik Barcelona dengan memenangi La Liga buat pertama kali dalam tempoh lima tahun dan menjulang Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab awal musim ini.
“Ia adalah hari paling gembira dalam kehidupan profesional saya setakat ini,” kata Zidane, pemenang Piala Dunia dengan Perancis pada tahun 1998, ketika menenangi gelaran liga hujung minggu lepas. – AFP