Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB) perlu mempraktikkan tadbir urus yang baik, selain mustahak untuk membarigakan pencapaian yang telah dicapai oleh JUZWAB.
Selain itu, kriteria kelayakan penerima zakat daripada golongan tertentu perlu dikemas kini dan dihadapkan kepada jawatankuasa pandu yang disokong.
Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan mengurniakan titah ketika mengadakan lawatan tidak berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di Jalan Dewan Majlis, pagi tadi.
Dalam titah tersebut, Baginda Sultan turut menekankan dasar-dasar peraturan pengendalian zakat itu hendaklah dikemas kini supaya tidak mudah untuk dieksploitasi dan jangan ada ruang untuk penyelewangan dalam mengagihkan zakat.
Baginda turut meminta JUZWAB agar sebarang masalah komunikasi yang kurang cekap di semua peringkat untuk diperbaiki supaya tidak menjadi penghalang kepada pencapaian matlamat dan kemajuan JUZWAB.
Selain itu, Baginda turut menyokong penggunaan teknologi digital dalam tadbir urus zakat demi memudahkan dan mempercepatkan proses pengurusan zakat khasnya dalam hal penilaian permohonan dan pengagihan zakat supaya lebih efisien, cepat, tepat dan konsisten.
Menyentuh mengenai Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), Baginda menekankan bahawa program tersebut perlu diutamakan supaya lebih ramai asnaf yang terpilih mampu menjana ekonomi masing-masing secara berterusan.
Oleh itu, pengurusan projek yang teratur mestilah dilaksanakan oleh PROPAZ dengan peruntukan garis masa yang munasabah supaya permasalahan dapat ditangani dengan lebih awal.
Baginda turut menyentuh mengenai bantuan pembinaan rumah untuk asnaf zakat yang layak mendapat pembiayaan melalui kumpulan wang zakat dan harta Baitulmal.
“Beta ingin tahu adakah masih ramai asnaf yang menunggu giliran mereka? Sepatutnya mana-mana asnaf yang benar-benar memerlukan bantuan hendaklah disantuni dengan segera,” titah Baginda.
Sehubungan itu, Baginda mahu jawatankuasa pandu ditubuhkan bagi pengurusan pengagihan zakat dan kemajuan tanah-tanah wakaf dan harta Baitulmal. Keahliannya perlu dipelbagaikan dan bukan hanya daripada mereka yang memiliki latar belakang agama tetapi juga yang memiliki latar belakang yang mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang keusahawanan dan juga pihak swasta.
Sementara itu, Baginda turut menyentuh mengenai berlakunya sungutan berkenaan permohonan zakat sehingga ada yang terpaksa menunggu berbulan-bulan malahan bertahun.
Dikatakan kerana terpaksa mengambil masa membuat penilaian disebabkan semua permohonan mesti dinilai terlebih dahulu.
“Pada Beta, tidak ada susahnya untuk membuat penilaian kerana siapa pemohon kita sudah tahu di mana rumahnya, di mana kampungnya dan siapa ketua kampungnya.
“Tidak bolehkah diaturkan kakitangan JUZWAB bersama ketua kampung untuk turun padang mengunjungi pemohon bagi menyaksikan sendiri keadaan pemohon untuk mengetahui semua perkara yang diperlukan sehingga dapatlah dimuktamadkan penilaian sama ada pemohon itu layak atau tidak untuk menerima zakat?”, tegas Baginda.
Baginda juga menekankan bahawa iklan menggalakkan berzakat adalah lebih utama dibuat kerana zakat perkara wajib.
“Beta belum pernah melihat perkara ini dibuat. Padahal perkaranya tidak susah. Di samping untuk mempromosikan supaya zakat juga boleh disalurkan melalui khutbah dan ceramah-ceramah oleh para daie dan penceramah.”
Baginda juga telah mengemukakan soalan-soalan penting untuk dijawab secara bertulis oleh KHEU dan JUZWAB, antaranya apa masalah yang menyebabkan kelewatan agihan zakat, terutamanya dalam proses penilaian, mengapa asnaf amil turut lambat menerima zakat, sedangkan mereka adalah sebahagian sistem.
Selain itu, Baginda turut bertanyakan adakah maklumat dan temu duga pemohon dikongsi bersama agensi lain seperti Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), apakah kriteria kelayakan bagi setiap kategori asnaf di Brunei Darussalam, berapa kerap mesyuarat penilaian kelayakan diadakan, berapa banyak permohonan telah disemak dan yang masih belum selesai dan apakah statistik terkini kadar kemiskinan dan jumlah yang disahkan sebagai fakir dan miskin.
Terdahulu, keberangkatan Baginda dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut sama menjunjung keberangkatan ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, serta pegawai-pegawai kanan KHEU.
Baginda Sultan memulakan lawatan dengan keberangkatan ke Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan KHEU dan seterusnya berkenan mengurniakan titah.
Dalam lawatan berkenaan, Baginda meninjau lebih dekat hal ehwal dan peranan KHEU yang berfungsi sebagai peneraju dalam perkhidmatan agama negara dan bertanggungjawab dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam, termasuk pengurusan zakat, wakaf dan baitulmal, di samping melahirkan para da’ie yang diiktiraf oleh MUIB.
KHEU mempunyai visi memperkasa perkhidmatan agama yang berkualiti dan berinovatif serta misi mengetarakan urus tadbir perkhidmatan agama secara berkesan dan berinovasi bagi pembangunan dan kesejahteraan negara.
Keberangkatan Baginda mencerminkan keprihatinan serta perhatian berterusan Baginda terhadap hal ehwal keagamaan dan pentadbiran Islam di Negara Brunei Darussalam.