Tuesday, May 13, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    K1M diminta anjur aktiviti gelorakan semangat cintakan tanah air

    KOTA KINABALU, 20 Julai – Komuniti 1Malaysia (K1M), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kendalian Jabatan Penerangan, di seluruh Sabah diminta menganjurkan program bersesuaian bagi menaikkan semangat cintakan tanah air.

    Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Suwadi Guliling berkata, sebagai antara NGO yang aktif dalam penganjuran aktiviti kemasyarakatan, beliau percaya K1M mampu memainkan peranan penting dalam usaha menyemai semangat dan penghayatan cintakan negara di kalangan masyarakat.

    “Masyarakat lebih mudah didekati dan dilibatkan dalam sebarang aktiviti kemasyarakatan melalui K1M. K1M ialah satu daripada NGO yang kita minta supaya adakan program kenegaraan atau program sambutan Hari Kebangsaan.

    “K1M merupakan satu ejen Jabatan dan kerajaan dalam mengendalikan (program) menggelorakan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat. Mereka akan melakukan aktiviti sama ada secara sendiri atau berkolaborasi dengan Jabatan Penerangan atau agensi kerajaan lain,” katanya.

    Suwadi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis silaturahim Aidilfitri Komuniti 1Malaysia Putatan, di Pejabat Penerangan Putatan di sini hari ini. Turut hadir timbalan pengarah Jabatan Penerangan Sabah Supian Musa.

    Menurut Suwadi, antara program yang boleh dianjur atau melibatkan K1M adalah pertandingan keceriaan kemerdekaan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam menggelorakan semangat cintakan negara.

    “Antaranya menghias rumah dengan bendera Jalur Gemilang atau membina gerbang di kawasan perumahan dan kampung-kampung (yang menonjolkan suasana sambutan Hari Kebangsaan). Bagi program Kembara Merdeka Jalur Gemilang, K1M juga akan turut serta. Dalam program Negaraku@komuniti, K1M juga merupakan penyumbang utama dalam menjayakan aktiviti pameran,” katanya.

    Suwadi berkata antara kumpulan sasar program K1M dan Jabatan Penerangan adalah golongan muda yang merupakan pemimpin masa depan negara serta akan berperanan mengisi kemerdekaan negara yang semestinya perlu memiliki semangat cinta negara.

    Sementara itu, Pengerusi Permuafakatan K1M Sabah, Tahir Mohd Soon pula berkata, 155 K1M di seluruh Sabah sentiasa menyokong apa juga program anjuran Jabatan Penerangan dan bersedia memainkan peranan yang diberikan pada bila-bila masa. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda