KOTA KINABALU, 30 Mei – Perayaan Kaamatan dan Gawai yang masing-masing disambut masyarakat Kadazandusun di Sabah dan Dayak di Sarawak, perlu dijadikan alat untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini ke arah mencapai kejayaan negara.
Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye ketika menyatakan perkara itu, menyifatkan pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa berkuat kuasa tahun ini, penjawat awam yang lahir di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dan berkhidmat di Semenanjung Malaysia, boleh mengambil satu hari cuti tanpa rekod bersempena perayaan Kaamatan dan Gawai, adalah suatu berita yang cukup menggembirakan.
“Kita perlu ingat bahawa usaha membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu adalah suatu proses berterusan dan apa yang telah dicapai setakat ini, perlu dipelihara dan ditingkatkan lagi. Perpaduan adalah hadiah yang tidak ternilai harganya, yang menjadi simbol tentang sifat kemanusiaan kita serta asas bagi kita untuk membina hubungan, keluarga, masyarakat dan Negara.
“Sebagai ikatan yang mengukuhkan negara kita, perpaduan perlu bermula di peringkat individu kerana ia mencerminkan cara mereka melayan orang lain. Rakyat Malaysia daripada etnik berbeza perlu sentiasa menyedari tentang perlunya mereka saling menghormati satu sama lain dan berkongsi wawasan berkaitan perpaduan nasional,” kata Lee dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena sambutan Kaamatan dan Gawai tahun ini.
Kaamatan disambut pada 30 dan 31 Mei oleh masyarakat Kadazandusun serta kumpulan etnik lain di Sabah, manakala Gawai dirayakan masyarakat Dayak, yang terdiri daripada suku kaum Iban, Bidayuh dan Kenyah pada 1 dan 2 Jun setiap tahun sebagai tanda berakhirnya musim menuai.
Sambil mengucapkan Selamat Menyambut Kaamatan dan Gawai kepada masyarakat Kadazandusun dan Dayak, Lee berkata prinsip perpaduan yang termaktub dalam Rukunegara perlu sentiasa dijunjung tinggi serta diamalkan semua rakyat Malaysia dan mereka tidak patut sekali-kali memandang remeh tentang kestabilan, keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.
Menurut beliau, kini, Malaysia begitu menonjol di dunia sebagai contoh betapa masyarakat daripada pelbagai etnik boleh hidup dalam suasana aman dan harmoni serta berganding bahu demi mencapai kemajuan dan kesejahteraan negara.
Lee juga menegaskan bahawa kini adalah masa bagi seluruh rakyat Malaysia meruntuhkan sebarang tembok yang boleh memecah-belahkan mereka bagi mengeratkan lagi hubungan antara etnik di negara ini.
“Semua rakyat Malaysia perlu mengambil pendirian tegas terhadap pihak yang memecah-belahkan masyarakat kerana perpaduan nasional amat penting dalam mencapai keamanan, kestabilan dan kesejahteraan sesebuah negara dan dalam mewujudkan Bangsa Malaysia. Marilah kita sama-sama meraikan perpaduan dalam kepelbagaian kita serta memperkasakannya lagi demi kesejahteraan generasi akan datang,” kata beliau. – Bernama