Sunday, January 5, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kabel kuasa bawah laut rosak, Finland siasat kapal Rusia

    HELSINKI, 2 JAN – Pihak berkuasa Finland merancang untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kapal tangki Eagle S, yang dipercayai sebahagian daripada ‘armada bayangan’ Rusia dan disyaki terlibat dalam sabotaj kabel kuasa bawah laut di Laut Baltik, menurut agensi pengangkutan dan komunikasi negara itu, hari ini.

    Pengarah agensi, Sanna Sonninen, memaklumkan bahawa pemeriksaan yang dirancang hari ini adalah tambahan kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh polis Finland.

    “Pada 2 Januari, Agensi Pengangkutan dan Komunikasi Finland (Traficom) akan memulakan pemeriksaan kawalan,” katanya dalam satu kenyataan.

    “Kami menjalankan pemeriksaan ini dengan memastikan ia tidak mengganggu operasi polis dan siasatan yang sedang berlangsung,” tambahnya.

    Kapal tangki Eagle S, yang berdaftar di Kepulauan Cook, disyaki telah menyebabkan kerosakan pada kabel kuasa EstLink2 yang menghubungkan Finland dan Estonia pada 25 Disember lalu. Seramai tujuh anak kapal telah disiasat pada Selasa dan dilarang meninggalkan Finland.

    Kapal Eagle S turut dipercayai sebahagian daripada ‘armada bayangan’ Rusia yang digunakan untuk mengangkut minyak mentah dan produk petroleum sebagai usaha mengelak sekatan yang dikenakan terhadap Moscow.

    Sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada Februari 2022, yang menyebabkan ketegangan serantau, beberapa insiden serupa dilaporkan berlaku di Laut Baltik. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda