BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah mengumumkan rombakan keahlian Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan beberapa lantikan yang lain yang menyaksikan beberapa orang menteri bertukar portfolio, timbalan menteri dilantik menjadi menteri dan pelantikan setiausaha tetap ke jawatan menteri serta timbalan menteri.
Dalam titah pengumuman yang disiarkan secara langsung di semua saluran televisyen dan radio, Radio Televisyen Brunei, hari ini, lapan menteri dan lima timbalan menteri baru telah dilantik.
“Beta sendiri berpendapat telah tiba masanya bagi Beta untuk membuat rombakan terhadap lantikan menteri-menteri Kabinet dan timbalan-timbalan menteri yang ada pada masa ini,” titah Baginda
“Memandangkan peri mustahaknya rombakan sedemikian, maka Beta telah membuat keputusan dan dengan ini mengisytiharkan pelantikan menteri-menteri Kabinet dan timbalan-timbalan menteri yang baru.” (Klik di sini untuk cerita lanjut)