Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kabinet Jepun benarkan pemburu tembak beruang ketika darurat

    TOKYO, 21 FEB – Kabinet Jepun meluluskan rang undang-undang hari ini membenarkan pemburu menembak beruang di kawasan berpenduduk mengikut budi bicara mereka sendiri selepas kejadian serangan terhadap manusia oleh haiwan liar itu meningkat mencecah tahap rekod.

    Kira-kira 219 orang diserang beruang dalam tempoh 12 bulan hingga April 2024 di seluruh negara itu, dengan enam kematian – yang tertinggi sejak statistik bermula hampir 20 tahun lalu.

    Perubahan iklim yang menjejaskan sumber makanan beruang dan masa hibernasi, ditambah dengan pengurangan populasi disebabkan oleh masyarakat yang semakin menua, menyebabkan haiwan itu memasuki lebih kerap ke bandar.

    Undang-undang perlindungan dan pengurusan hidupan liar yang disemak telah membenarkan penembak aktif berikutan aduan bahawa pemburu dihambat oleh perundangan itu.

    Kementerian Alam Sekitar berharap dapat membentangkan rang undang-undang itu kepada Parlimen dalam beberapa bulan akan datang dan menggubalnya sebelum musim luruh, yang mana kemunculan beruang biasanya meningkat pada masa itu, kata seorang pegawai Kementerian Alam Sekitar kepada AFP.

    Pada masa ini, menembak haiwan seperti beruang atau babi hutan di kawasan perumahan adalah dilarang.

    Walaupun beruang bersembunyi di kawasan berpenduduk, pemburu tidak dibenarkan menembak tanpa kebenaran daripada polis.

    Namun demikian, polis hanya boleh mengeluarkan arahan sedemikian dalam keadaan darurat, contohnya apabila seseorang hampir diserang, kata pegawai kementerian itu. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda