Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kabinet M’sia angkat sumpah tanpa PM

    KUALA LUMPUR, 30 OGOS – Seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

    Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Mereka diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lepas yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri. 

    Dua daripada mereka tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan hari ini.

    Mereka ialah Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang disahkan positif COVID-19.

    Perdana Menteri, yang dijadual hadir, turut tidak dapat berbuat demikian kerana menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

    Berlangsung di Balairung Seri mulai 2.30 petang, istiadat itu bermula dengan lagu kebangsaan ’Negaraku’ dimainkan. Ia kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Istiadat berkenaan diadakan secara berkumpulan dengan barisan menteri dibahagikan kepada lima kumpulan manakala timbalan menteri enam kumpulan. – Bernama

    Yang di-Pertuan Agong menyerahkan watikah pelantikan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada majlis angkat sumpah yang tidak dihadiri perdana menteri Malaysia (gambar sisipan). -Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda