Monday, March 31, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kabinet Sarawak luluskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma 2026

    KUCHING, 28 MAC – Kabinet Sarawak telah meluluskan kertas cadangan bagi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

    Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan bahawa kelulusan tersebut dicapai semasa mesyuarat Kabinet negeri pada 20 Mac lepas.

    Pelaksanaan FTES Sarawak ini akan bermula pada 2026 dan terbuka kepada rakyat Sarawak.

    “Institusi yang terlibat adalah institusi pengajian tinggi milik Sarawak, iaitu Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University of Malaysia, University Technology of Sarawak dan i-CATS University College.

    “Program yang diluluskan di bawah FTES merangkumi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Undang-Undang, Perubatan, Perakaunan dan Kewangan,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kementerian itu, FTES terpakai untuk pendaftaran baharu dan semua pendaftaran sedia ada mulai 2026.

    “Skim ini meliputi yuran pengajian percuma. Selain itu, elaun sebanyak RM15,000 setahun turut disediakan untuk pelajar daripada isi rumah dengan pendapatan per kapita RM1,500 sebulan atau kurang,” menurut kenyataan tersebut.

    Pada 12 Mac, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Negeri Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn dilaporkan berkata butiran lanjut mengenai inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak akan diumumkan pada November.

    Beliau berkata butiran itu akan merangkumi senarai kursus dan prosedur permohonan. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda