BANGKOK, 15 JULAI – Kabinet Thailand telah meluluskan kajian mengenai pencemaran rentas sempadan yang menjejaskan Sungai Kok dan Sungai Sai, berikutan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap pencemaran berbahaya berkaitan aktiviti perlombongan di hulu sungai.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah diberi tanggungjawab untuk mengetuai kajian kebolehlaksanaan serta menilai langkah-langkah tindak balas yang dicadangkan bagi menangani risiko alam sekitar dan kesihatan di wilayah utara.
Timbalan Jurucakap Kerajaan, Sasikan Watthanachan berkata Kabinet telah mengkaji semula cadangan yang bertujuan mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia berkaitan isu alam sekitar rentas sempadan, khususnya pencemaran di kedua-dua sungai terbabit.
Beliau menyatakan bahawa pencemaran di kedua-dua sungai itu semakin teruk akibat aktiviti perlombongan emas dan nadir bumi yang dijalankan oleh sebuah syarikat swasta tidak dikenali yang beroperasi di hulu sungai.
“Proses pengekstrakan bahan kimia berbahaya telah mengakibatkan pencemaran tanah dan sisa lombong dengan logam berat seperti arsenik, kadmium dan merkuri.
“Bahan pencemar ini telah meresap ke dalam sistem sungai dan seterusnya memasuki wilayah Thailand, menimbulkan risiko kesihatan yang serius,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan hari ini. – Bernama
