Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kabo, medan diskusi pencinta buku

    Oleh Ali Imran Mohd Noordin

     

    BANGI – Sejak 2016 Kafe Buku Oakheart (KABO) yang terletak di seksyen 8, Bandar Baru Bangi mempunyai cara yang tersendiri untuk menyambut ketibaan tahun baru.

    Berbanding ribuan atau mungkin puluhan ribu anak muda yang berpesta dengan sorakan serta pertunjukan bunga api, lain pula ceritanya dengan sekumpulan anak muda termasuk golongan professional dan mahasiswa yang berkumpul di KABO menjelang tahun baru 2018!

    Selama 24 jam daripada pukul 2:02 minit petang 31 Disember 2017 hingga 2:02 minit petang 1 Januari 2018 pelbagai acara berteraskan sastera, seni dan budaya diadakan di Kafe berkenaan.

    Diusahakan oleh pasangan suami isteri Mohammad Hafiz Abdul Latiff, 32, dan Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri, 30, kafe ini mula beroperasi pada 2014 sebagai satu cabang perniagaan berasaskan penerbitan dan jualan buku yang diusahakan sejak 2012.

    “Kami mula menganjurkan #KABO24Jam pada 2016. Pada setiap 31 Disember kafe kami akan menjadi medan mengggabungkan aktiviti seni dan sastera dalam satu acara,” kata Sayidah.

    Antara acara yang dijalankan adalah muzikalisasi puisi, tayangan filem pendek, bengkel puisi, pertandingan menulis cerpen serta beberapa sesi diskusi berkaitan industri perbukuan dan seni.

    Penulis sempat hadir pada sesi perbincangan melibatkan industri buku yang hari ini dikatakan semakin ‘sakit’ dan ‘sendu’ pasarannya oleh sesetengah pihak.

    Belajar daripada orang lama

    Secara tradisinya, seorang penggiat sastera tempatan akan diangkat sebagai ikon sastera pada setiap acara #KABO24Jam. Jika pada 2016, pejuang persuratan Melayu Nisah Haron diangkat sebagai ikon, 2017 menyaksikan novelis Dr Mohd Faizal Musa pula diberi penghormatan ini.

    Beliau yang turut dikenali dengan nama pena Faisal Tehrani setakat ini menghasilkan 24 novel.

    Mohd Faizal sempat berkongsi pengalaman beliau ketika berguru dengan sasterawan dan ikon sastera negara seperti Allahyarham Datuk Shahnon Ahmad, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, Datuk A Samad Said dan Arena Wati atau nama sebenarnya Muhammad Dahlan Abdul Baing.

    “Hanya bergaul dengan penulis yang mempunyai nama besar tidak semestinya menjadikan kita sebagai penulis yang lebih baik.

    “Sebaliknya dengan membaca karya-karya merekalah yang akan meningkatkan pengetahuan seterusnya kemahiran kita dalam melahirkan karya penulisan,” Mohd Faizal memberitahu Bernama.

    Bagaimanapun Mohd Faizal mengakui pengalaman beliau mendekati nama-nama besar dunia penulisan negara memberi beliau peluang mempelajari cara kerja dan corak pemikiran seseorang penulis tersohor yang beliau jadikan panduan ketika berkarya.

    “Sementara orang-orang ini masih ada (hidup) carilah peluang untuk merapati mereka dan berguru. Banyak nama-nama besar sudah pun meninggal dunia. Jadi pergilah ‘kejar’ mereka yang masih bersama kita, contohnya Pak Samad (A. Samad Said) yang memang mudah didekati,” tambah Mohd Faizal.

    Fahami kontrak

    Penulis yang meluangkan masa sejak awal pagi 1 Januari untuk mengikuti acara yang dijalankan mendapati beberapa slot menarik yang banyak memberi pengetahuan khususnya mengenai industri buku.

    Umpamanya dalam slot ‘Fokus Anak Muda’ Eksekutif Hak Cipta Intitut Terjemahan dan Buku Malaysia Mohd Azree Mohd Ariffin menyentuh tentang isu hak cipta dalam industri kreatif, khususnya industri buku.

    Menurut beliau, penulis tidak perlu takut atau segan membincangkan butiran kontrak yang ditawarkan rumah penerbitan demi kebaikan penulis itu sendiri bagi memastikan haknya terjaga.

    “Kontrak yang ditawarkan rumah penerbitan bukanlah sesuatu yang tetap. Jadi jangan main tanda tangan sahaja tetapi jika ada sebarang perkara yang tidak difahami atau tidak dipersetujui, bertanyalah dan berbincanglah,” katanya.

    Selama 24 jam dari jam 2:02 minit petang 31 Disember 2017 hingga 2:02 minit petang 1 Januari 2018 pelbagai acara berteraskan sastera, seni dan budaya diadakan di Kafe berkenaan.
    Pada hari ini, kedai buku menukar konsep dari ‘kedai buku’ kepada ‘kedai gaya hidup’, bermaksud ruang jualan buku akan semakin mengecil dan keadaan ini pasti memberi kesan kepada jualan buku secara runcit.

    Penulis, kata Mohd Azree perlu memahami butiran kontrak untuk mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam masalah yang sering menghantui penulis seperti kadar royalti, waktu pengagihan royalti serta tempoh pemilikan sesuatu hak cipta penerbit terhadap karya yang dihasilkan penulis.

    Trend jualan buku dengan potongan harga yang semakin popular akhir-akhir ini turut menimbulkan kegusaran buat sesetengah penulis buku yang risau harga jualan yang rendah akan memberi kesan kepada potensi pendapatan mereka yang bergantung kepada prestasi jualan buku.

    Buang sifat ego

    Sementara itu, dalam forum ‘Gelanggang Oakheart’ dengan tema ‘Peranan Persatuan dalam Pembangunan Penulis dan Penerbit’, tiga panel membincangkan realiti cabaran terkini dunia perbukuan.

    Barisan panel terdiri daripada Presiden Persatuan Penulis Malaysia (MYWriters), Gina Yap Lai Yoong, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah dan Wakil Jawatankuasa Penggerak, Persatuan Gerakan Penulis Malaysia, Azzah Abdul Rahman.

    Antara topik yang disentuh termasuk gerak kerja penulis untuk kekal relevan dalam keadaan pasaran yang lembab, keadaan pasaran buku tempatan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, dan perubahan model jualan di kedai buku yang boleh memberi kesan kepada jualan.

    Menurut Gina, adalah penting untuk penulis-penulis baik bagi karya dalam Bahasa Melayu atau Inggeris untuk mengekalkan imej Malaysia dalam penulisan kerana itu adalah satu nilai yang dicari-cari para pembaca terutamanya dari luar negara.

    Di samping itu penulis perlu membuang ego yang menganggap karya mereka sudah cukup bagus dan menidakkan komentar pihak lain terhadap hasil kerja mereka. “Keengganan berubah hanya akan memberi kesan negatif yang mengakibatkan karya tempatan tidak akan boleh pergi jauh menembusi pasaran antarabangsa,” tegas beliau.

    Merantau untuk analisa pasaran

    “Kita terlalu selesa dalam industri kita sendiri. Pasaran tempatan kita sebenarnya kecil, jadi adalah baik jika seseorang penulis cuba merantau ke luar negara dan mengenal pasti potensi memasarkan karya mereka di negara lain,” jelas Azzah yang telah mengembara ke beberapa negara untuk menganalisis pasaran buku di negara luar.

    Menurut beliau, dalam keadaan hari ini penulis sendiri perlu memainkan peranan untuk menjual buku tulisannya dan tidak lagi seratus peratus mengharapkan penerbit untuk melakukan kerja mempromosi dan menjual buku.

    Gina dan Azzah turut bersetuju bahawa pembangunan penulis perlu dilakukan di peringkat akar umbi untuk meningkatkan kemahiran sejak awal seseorang penulis berkecimpung dalam industri berkenaan agar manuskrip yang dihasilkan berkualiti tinggi.

    Sementara itu, Ishak memberitahu dengan trend terkini yang melihat kedai buku menukar konsep daripada ‘kedai buku’ kepada ‘kedai gaya hidup’, bermaksud ruang jualan buku akan semakin mengecil dan keadaan ini pasti memberi kesan kepada jualan buku secara runcit.

    Ishak turut berpendapat pembelian syarikat RevAsia oleh Media Prima Berhad dan kerjasama syarikat penyiaran berbayar Astro dengan Kumpulan Media Karangkraf dijangka memberi kesan kepada jualan buku fizikal yang terpaksa bersaing dengan maklumat percuma disediakan portal dalam talian. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda