Kabul kembali ‘hidup’, acara perkahwinan, kegiatan luar dibenarkan

KABUL – Ketika lorong boling dibuka semula, Zohal Bayat tidak sabar untuk kembali bermain sukan tersebut. Selama empat bulan lamanya Afghanistan berada di tengah-tengah penularan wabak koronavirus, kemudahan rekreasi dan lainnya telah ditutup.

Ini bermakna Bayat, seorang ahli pasukan boling wanita kebangsaan di negara itu, tidak dapat turun berlatih.

Selain daripada itu, Bayat juga turut dijangkiti COVID-19, penyakit yang disebabkan oleh virus. Dia menghabiskan lebih 20 hari berada dalam pengasingan diri, dengan mengalami demam, sesak nafas dan batuk-batuk. Ayahnya turut dijangkiti tetapi sekarang mereka dalam keadaan sihat.

“Saya sangat teruja,” kata Bayat, 25, ketika dia mengadakan latihan di Friend’s Cafe, tempat kegemarannya untuk bermain boling.

Akan tetapi, dia hanya pergi ke sana pada hari bekerja. Pada hujung minggu, tempat tersebut dipenuhi oleh ramai pengunjung sebagai tempat berkumpul bagi golongan muda, di mana di sana turut menyediakan kemudahan lain seperti meja pool, muzik dan kafe.

Pekerja-pekerja penjagaan kesihatan Afghanistan menyembur semburan pembasmi kuman bagi mencegah penularan COVID-19. – AP
Acara perkahwinan juga dibenarkan diadakan di dalam dewan setelah kerajaan Afghanistan membuat keputusan untuk melonggarkan perintah berkurung yang dikenakan sebelum ini. – AP
Taman-taman permainan di Afghanistan telah dibuka semula selepas beberapa bulan ditutup demi melawan penularan wabak koronavirus. Orang ramai mula membanjiri taman permainan tetapi segelintir pengunjung bimbang kemungkinan tercetusnya gelombang kedua. – AP

“Saya akan meneruskan latihan saya,” menurut Bayat, yang juga bermain sukan bola keranjang. “Tetapi saya turut risau mengenai gelombang kedua virus.”

Terdesak untuk menerima bantuan akibat peperangan yang berterusan dan digabung dengan penularan pandemik, Afghanistan terdesak untuk membuka semula taman rekreasinya ketika pihak kerajaan melonggarkan perintah berkurung yang dikenakan sebelum ini demi melawan penularan koronavirus.

Sejak pertengahan Julai, Afghanistan sekali lagi boleh membuka semula taman-taman, kolam renang dan gim, kedai-kedai di gedung membeli-belah dan mengadakan majlis perkahwinan di dalam dewan.

Universiti dan sekolah swasta turut dibuka semula dan sekolah kerajaan bagi pelajar Tahun 11 dan 12 telah di-sambung semula.

Segelintir penduduk memakai penutup mulut dan hidung atau mengambil langkah berjaga-jaga yang lain – dan pihak berkuasa berusaha untuk memberi peringatan kepada orang awam mengenai bahaya gelombang kedua pandemik.

Setakat ini, angka rasmi tidak menunjukkan sebarang lonjakan kes baharu sejak perintah berkurung dilonggarkan, dengan purata yang mendatar kira-kira 50 ke 70 sehari dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Afghanistan telah merekodkan lebih 38,200 kes jangkitan virus setakat ini, termasuk 1,409 kematian.

Tetapi angka sebenar berkemungkinan lebih tinggi, dan kesan tragedi ini lebih besar berbanding tanggapan orang ramai, menurut Mohammad Yaqoub Haidari, seorang gabenor wilayah bagi ibu kota Kabul dan ketua bagi jawatankuasa untuk menentang penularan COVID-19.

Dia memberitahu Associated Press bahawa di Kabul sahaja, hampir 8,000 orang telah meninggal dunia akibat virus. Semasa tempoh kemuncak virus, pasukannya telah menguruskan kira-kira 200 hingga 700 kematian sehari, terutama semasa bulan Mei dan Jun dan berpuluh-puluh kubur terpaksa digali bagi menampung jumlah kematian yang meningkat, tambahnya.

Ini tidak dapat dinafikan bahawa virus masih berlaku di luar sana. Haidari menjangkakan bahawa 53 peratus daripada jumlah penduduk di ibu kota yang mempunyai keramaian lebih dari empat juta orang telah dijangkiti.

Sistem penjagaan kesihatan Afghanistan yang runtuh telah menjadikannya lebih sukar untuk mengawal penularan virus.

Lebih daripada 2,700 pekerja perubatan, termasuk 40 orang di hospital Afghanistan-Jepun, salah satu dari pada dua hospital di Kabul yang menangani pesakit virus, telah dijangkiti, menurut Kementerian Kesihatan.

Kementerian berkata seramai 72 pekerja perubatan telah meninggal dunia di seluruh negara.

Selepas berbulan-bulan di bawah perintah berkurung, penduduk Kabul kini berasa lega untuk dibenarkan ke-luar. Ribuan penduduk keluar ke taman di ibu kota, di mana taman permainan dibuka semula.

Restoran di taman telah dibina menggunakan tempat duduk jet yang lama dan kanak-kanak berlari dengan teruja untuk duduk di atasnya.

Obaidullah Rasouly yang berkunjung di sana baru-baru ini bersama dua orang anaknya, berkata ini adalah kali pertama mereka mengunjungi taman setelah berbulan-bulan.

Dia sangat gembira berada di sana – tetapi berasa risau pada masa yang sama. Dia memakai penutup mulut dan hidung bersama beberapa orang pengunjung yang berada di taman.

“Malangnya, negara kami tidak melaksanakan perintah berkurung secara efektif dan sekarang ia telah dilonggarkan, orang ramai gagal untuk mematuhi langkah-langkah yang berpatutan,” kata pemuda berusia 30 tahun semasa anak-anaknya bermain di gelongsor. – AP