Thursday, January 2, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kabus tebal jejas perjalanan udara di UK

    LONDON, 29 DIS – Pengembara udara di United Kingdom (UK) mengalami gangguan seterusnya kelmarin, apabila kabus menyelubungi sebahagian besar negara itu dalam beberapa hari kebelakangan ini sehingga menyebabkan penerbangan tergendala dan mengganggu pendaratan serta pelepasan pesawat.

    Gangguan semakin meningkat sepanjang hari di lapangan terbang utama London, termasuk Heathrow, Gatwick dan Stansted, serta di Manchester dan Belfast, menurut Flightradar24, yang menjejaki pergerakan pesawat secara langsung.

    Ratusan penerbangan mengalami kelewatan di Heathrow – hab udara terbesar negara itu dan Gatwick, sementara kedua-dua lapangan terbang tersebut juga melaporkan lebih daripada 12 penerbangan dibatalkan, lapor laman web tersebut.

    Lebih separuh daripada penerbangan yang berlepas dari Heathrow dilaporkan mengalami kelewatan, menurut Flightradar24.

    Lapangan terbang yang sama turut mengalami gangguan pada Jumaat disebabkan oleh keadaan kabus yang tebal.

    Gambar menunjukkan sebuah pesawat mendarat dalam keadaan cuaca berkabus di Lapangan Terbang Cardiff, di Cardiff, Wales, pada 28 Disember. – AP

    “Memandangkan kabus berleluasa, beberapa lapangan terbang di UK terus terjejas hari ini.

    “Sekatan sementara terhadap trafik udara masih dilaksanakan di lokasi dengan penglihatan rendah,” kata pihak berkuasa kawalan trafik udara NATS.

    Ia menyatakan bahawa sekatan tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan, sambil menambah bahawa pasukan mereka bekerja rapat dengan lapangan terbang dan syarikat penerbangan bagi mengurangkan gangguan yang berlaku.

    Di beberapa kawasan, kabus tebal dikatakan mengurangkan jarak penglihatan hingga hanya 100 meter, menurut agensi cuaca Britain, Met Office.

    Jurucakap lapangan terbang Gatwick sebelum ini berkata sekatan sementara terhadap trafik udara disebabkan kabus yang mengurangkan penglihatan boleh menyebabkan kelewatan ‘sepanjang hari’.

    Gangguan berlaku pada waktu paling sibuk dalam setahun untuk perjalanan udara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda