Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) telah mengadakan majlis penyampaian hadiah penutup program dan aktiviti KACA 2024 yang berlangsung di Pusat KACA, Kampung Kiulap, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah penutup dan cenderamata penghargaan kepada mereka yang diraikan ialah Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.
Dalam majlis berkenaan, Pengarah Urusan Pusat KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman menyatakan harapan supaya para kanak-kanak KACA dan ibu bapa akan terus mengambil bahagian serta menyokong program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh KACA.
Dalam hubungan itu, beliau memaklumkan bahawa program-program yang akan dilaksanakan oleh KACA sepanjang 2025 adalah termasuk Projek Menabung KACA ke-14, peraduan mari bercerita bagi kanak-kanak untuk empat buah Pusat KACA di Negara Brunei Darussalam, program sukan ria dan peraduan mewarna bagi kanak-kanak serta Majlis Doa Kesyukuran Ulang Tahun KACA ke-39.
Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada lima kanak-kanak KACA yang aktif mengikuti program dan aktiviti KACA serta lima ibu bapa yang aktif secara langsung dalam program dan aktiviti KACA sepanjang 2024 yang disampaikan oleh Dato Paduka Haji Zainal.
Majlis itu bermatlamat untuk memberi galakan kepada kanak-kanak KACA untuk hadir dalam program dan aktiviti KACA sepanjang tahun termasuk lawatan, sukan, walkaton dan acara-acara lain serta sebagai penghargaan kepada ibu bapa yang bekerjasama dan memberi bantuan aktif menerusi penyertaan dalam program dan aktiviti KACA sepanjang tahun termasuk lawatan luar pusat KACA.
Persatuan KACA menyatakan harapan bagi semua pihak untuk sama-sama bekerjasama dalam semua program atau aktiviti KACA yang telah disusun sepanjang 2025 bagi perkembangan pelajaran serta pembelajaran kanak-kanak.