Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Persatuan Kanak-Kanak Cacat (KACA) telah mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dalam dua acara iaitu Projek Menabung KACA 2024 (2021-2025) Fasa ke-3 dan juga Peraduan Mari Bercerita 2024 yang berlangsung di Pusat KACA, Kiulap, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah adalah Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.
Turut hadir di majlis itu adalah Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman serta ahli dan kakitangan Persatuan KACA, Kiulap.
Antara lain tujuan projek menabung berkenaan adalah untuk menanam budaya atau ilmu menabung supaya kanak-kanak KACA dapat memahami akan keperluan berjimat untuk masa depan dan tidak membebankan orang lain.
Sementara tujuan peraduan bercerita dianjurkan pula adalah untuk meningkatkan kemahiran berbahasa, menjana idea spontan dan membina keyakinan diri bertutur di khalayak ramai mengenai topik yang dipilih sendiri oleh peserta.