POPULARITI kacang hazel tidak boleh dinafikan dan ia semakin meningkat terutamanya apabila kacang ini digunakan sebagai bahan tambahan dalam sapuan coklat mahupun minuman kopi. Sebenarnya sejak zaman dahulu lagi kacang hazel popular sebagai agen perasa dalam minuman kopi dan likur.
Manakala minyak daripada kacang hazel pula digunakan sebagai minyak masak. Kacang hazel atau Hazelnut adalah kacang dari tanaman hazel.
Nama saintifik kacang hazel adalah corylus avellana. Ia mengandungi antioksidan hebat dan sumber protein sesuai untuk vegetarian atau orang yang tidak makan daging.
Dikatakan 100 gram kacang hazel menawarkan lebih kurang 15 gram protein. Selain itu dikatakan kacang hazel turut kaya dengan sumber lemak yang menyihatkan, bebas kolestrol dan sodium. Banyak kebaikan yang boleh diberikan oleh kacang hazel kepada kesihatan tubuh.
Memperlambat tanda penuaan kulit
Secawan kacang hazel turut menawarkan 86 peratus nilai vitamin E yang diperlukan tubuh. Ia turut mengandungi dua antioksidan hebat iaitu vitamin A dan vitamin C.
Kesan pengambilan vitamin ini dikatakan mampu untuk mencegah bermulanya garisan halus dan kedutan pada kulit sekali gus memperlambat tanda-tanda penuaan kulit.
Melindungi kulit
Dikatakan jika anda menyapu minyak kacang hazel pada kulit, ia mampu bertindak sebagai pelindung selaran matahari semula jadi.
Ia dikatakan mampu melindungi tubuh daripada kesan kasar dan bahaya sinaran ultra ungu.
Melembapkan kulit
Jumlah vitamin E dan lemak sihat dalam kacang hazel mampu untuk membantu melembapkan dan menghidratkan kulit.
Ia juga dikatakan mampu memastikan kulit lembut dan halus. Kulit juga dikatakan bersinar dengan kebaikan yang diberikan kacang hazel.

Baik untuk jantung
Kacang berwarna coklat ini merupakan sumber baik lemak tidak tepu dan tidak ada kolestrol. Dikatakan secawan kacang hazel menepati 50 peratus tahap magnesium yang diperlukan tubuh.
Magnesium memainkan peranan penting dalam mengatur tahap kalsium, melindungi jantung melalui cara mencipta ruang untuk jantung berehat dan mencegah daripada terlebih guna.
Cegah kanser
Kacang hazel kaya dengan alpha-tocopherol, sejenis vitamin E yang terkenal dalam memiliki kuasa untuk mengekang risiko yang dikaitkan dengan bermulanya kanser pundi lebih daripada 50 peratus.
Baik untuk otot
Magnesium memainkan peranan penting dalam memastikan tahap kalsium untuk bergerak dalam sel-sel tubuh dengan cara yang menyihatkan.
Ia sekali gus membantu dalam pengecutan otot, mencegah terlebih tekanan pada otot. Pengambilan magnesium juga dikatakan mampu menguatkan otot-otot.


Atasi masalah sembelit
Kacang hazel kaya dengan sumber serat. Anda boleh memasukkan hazel dalam pemakanan seharian untuk mengekalkan pergerakan usus yang baik. Serat mengikat najis, melonggarkannya dan mencegah sembelit.
Menentang tekanan dan kemurungan
Kacang hazel mengandungi asid alpha-linolenik dan asid berlemak omega 3 serta vitamin B yang memainkan peranan dalam mencegah dan melegakan pelbagai masalah psikologi termasuklah kegelisahan, tekanan, kemurungan, malahan skizofrenia.
Kurangkan sakit perut dan kekejangan akibat haid
Kacang hazel kaya dengan magnesium, vitamin E, kalsium dan zat makanan lain yang menunjukkan kesan positif dalam melegakan sakit perut dan kekejangan akibat haid.
Sumber besi
Kajian mencadangkan kacang hazel boleh digunakan sebagai ramuan semula jadi untuk masalah kekurangan besi dan masalah kesihatan yang meningkat berikutan dengan kekurangan besi.
Segenggam kacang hazel dikatakan memberikan lebih kurang 30 peratus pengambilan nilai zat besi yang disyorkan untuk kesihatan tubuh.