DUBLIN, 14 NOV – Jurulatih Ireland, Heimir Hallgrimsson berkata Cristiano Ronaldo adalah silap dengan menyalahkannya apabila dikenakan kad merah ketika Portugal tewas dalam kelayakan Piala Dunia kelmarin.
Pemenang Ballon d’Or lima kali itu berbalas kata-kata dengan Hallgrimsson selepas dibuang padang semasa kalah 2-0 di Dublin.
Ronaldo berkata sebelum perlawanan, jurulatih Ireland cuba beri tekanan kepada pengadil dengan memberitahu pegawai supaya tidak terpengaruh dengan penyerang superstar itu.
Dengan pasukannya ketinggalan dua gol pada separuh masa kedua, pemain berusia 40 tahun itu kecewa dan menyiku Dara O’Shea di belakang ketika dia dikawal di dalam kotak penalti.
“Dia ‘puji’ saya kerana beri tekanan kepada pengadil tetapi ia tidak ada kena mengena dengan saya, tindakannya di atas padang yang menyebabkannya dilayangkan kad merah,” kata Hallgrimsson kepada pemberita.
“Ia tidak ada kena mengena dengan saya melainkan saya masuk ke dalam fikirannya.”
Dia menambah: “Saya rasa ini hanyalah satu momen kebodohan kecil baginya.”
Ronaldo mungkin terlepas perlawanan permulaan Piala Dunia jika Portugal layak, bergantung pada berapa lama dia digantung perlawanan.
Selepas kad merah tersebut, Ronaldo tidak akan dapat sertai perlawanan Ahad nanti menentang Armenia, di mana Portugal menyasarkan untuk mengesahkan laluan ke kejohanan musim panas akan datang.
“Sukar untuk pemain seperti Cristiano berada di kawasan penalti,” kata jurulatih Portugal, Roberto Martinez. “Dia sentiasa dikawal pemain pertahanan, yang mencengkamnya. Tiada keganasan (cuma) dia cuba menolak (untuk jauhkan) mereka.”
Terdahulu, Cristiano berharap ejekan daripada penyokong Ireland. – AFP


